‘Hubungan saya dan dia hanyalah kawan biasa’
“Saya ingin menjelaskan bahawa hubungan saya dengan Datuk hanyalah kawan biasa dan kenalan golf serta tiada kena mengena dengan status peribadi saya.”
Itu penegasan Dasyarina Sarilah Daud berhubung dakwaan yang heboh diperkatakan di media sosial apabila mengaitkan dirinya dengan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.
Wanita berkenaan berkata, penjelasannya itu dibuat secara sukarela bagi membersihkan nama, keluarga dan syarikatnya.
“Saya juga tidak pernah mendapat sebarang projek kerajaan, apatah lagi dari pihak MINDEF (Kementerian Pertahanan) dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, beliau didakwa dikaitkan dengan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkait isu integriti dan urusan peribadi.
Tampil menafikan dakwaan tersebut, Dasyarina turut menafikan bahawa beliau memperoleh projek daripada Kementerian Pertahanan.
“Saya juga tidak pernah mendapat sebarang projek kerajaan, apatah lagi dari pihak MINDEF (Kementerian Pertahanan) dan kerajaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Dasyarina memberitahu beliau dalam proses ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap bahan-bahan yang ditularkan kerana perkara itu tidak benar.
Berunsur fitnah
Sementara itu, dalam sidang media pada 2 Januari, Sabri tegas menepis semua tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dan menyifatkannya sebagai mengelirukan serta berunsur fitnah serius.
Peguam pegawai kanan tentera berkenaan, Firdaus Jumaluddin yang bertindak sebagai jurucakap diberi kuasa berkata, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas malah berpotensi mencemar reputasi Puspahanas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhan.
Menurut beliau, sehingga kini Sabri tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan dan tidak pernah didapati bersalah atas kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa.
Sabri juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau mengulang siar kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.
Pegawai kanan tentera itu juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan dan beberapa lagi laporan susulan akan dikemukakan.
Pada Disember tahun lalu, aktivis politik yang juga bekas pemimpin PKR, Badrul Hisham Shaharin mendakwa Sabri terlibat dalam kesalahan berkaitan rasuah.
Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard turut mendedahkan satu set dokumen yang dikatakan merangkumi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang didakwa diterima oleh pertubuhan Pembela Tanah Air (Peta) pada Mei 2024.
BACA JUGA Kontraktor kecil pasti senyum membaca pengumuman 10 inisiatif kerajaan ini