Kalau dia ada maruah, letak jawatan

Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mencabar Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh untuk melepaskan jawatan baik sebagai wakil rakyat mahupun Exco di dalam kerajaan negeri.

Dalam satu video semalam, Lokman berkata jika benar Akmal merasakan orang yang bermaruah adalah orang yang tidak mempunyai jawatan dan perlu menjadi pembangkang, maka Akmal perlu melakukannya terlebih dahulu.

“Mulakan. Sebab dia percaya jadi pembangkang itu lebih bermaruah. Jadi kalau dia pegang jawatan tak ada maruah lah. Kalau dia ada maruah dia letak jawatan.

“Sebab dia percaya orang yang bermaruah ialah orang yang tak ada jawatan dan jadi pembangkang. Maka dia kena belajar, tunjukkan kepimpinan melalui tauladan, dia letak jawatan Exco, letak jawatan ADUN, letak jawatan Ketua Pemuda, jadi pembangkang.

“Pasti dia akan lebih bermaruah sebab dia pun lebih sayang pembangkang daripada kerajaan,” katanya sambil berkata, tindak tanduk Akmal ketika ini lebih banyak menyerang kerajaan berbanding pembangkang.