Letak jawatan exco Melaka, Akmal dicabar oleh DAPSY

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh yang sedang mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan telah dicabar oleh Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) agar meletakkan jawatan sebagai anggota exco kerajaan Melaka.

“Sekiranya Akmal Saleh benar-benar berprinsip, dia boleh meletakkan jawatan EXCO serta-merta tanpa perlu menunggu lagi.

“Jika masih kekalkan jawatan sedia ada, maka dia harus menelan semula apa yang pernah diungkap dan menghentikan segala tindakan dan retorik yang hanya berniat untuk merosakkan usaha kerajaan terhadap agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat,” kata DAPSY dalam satu kenyataan.

“Akmal Saleh harus letak jawatan segera dan laksanakan pendirian yakni keluar kerajaan perpaduan. Jangan cakap tidak serupa bikin,” tambah sayap tersebut yang diketuai oleh Woo Kah Leong.

Akmal ialah Exco Kemajian Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Dalam konvensyen anjurannya, Akmal mendesak Umno keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan bersatu dengan Pas di Bawah Muafakat Nasional.

Cadangan tersebut bagaimanapun telah ditolak oleh presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

BACA JUGA: Mungkin tiba masa undur diri, kata Akmal lepas cadangan ditolak UMNO