Pemecatan Saifuddin Abdullah bertentangan dengan perlembagaan Bersatu
Ketua Bersatu Kepala Batas Khaliq Mehtab mendakwa pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah semalam adalah bertentangan perlembagaan parti dan tidak sah.
“Setelah meneliti fakta yang ada, adalah jelas bahawa keputusan pemecatan tersebut dibuat tanpa suatu persidangan rasmi Lembaga Disiplin (LD).
“Hakikat ini tidak boleh diselindung dengan kenyataan umum, alasan pentadbiran atau tafsiran longgar perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan.
“Sebagai Ketua Bahagian dan juga seorang peguam, saya menyatakan dengan tegas bahawa pemecatan tanpa persidangan LD adalah bertentangan dengan semangat dan prinsip Perlembagaan Parti. Ini bukan isu teknikal kecil — ini isu keabsahan keputusan.”
Beliau yang tidak mempertahankan sesiapa selain daripada perlembagaan menyifatkan tindakan pemecatan tersebut sebagai satu penyalahgunaan kuasa.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak mempertahankan mana-mana individu. Saya mempertahankan perlembagaan, proses dan integriti parti.
“Apabila proses dipintas, keputusan yang terhasil bukan lagi ketegasan, tetapi penyalahgunaan kuasa.
“Lebih mendukacitakan, apabila kecacatan proses ini cuba ditutup dengan naratif “disiplin”, “tanggungjawab kolektif” dan “ketegasan parti”, seolah-olah matlamat boleh menghalalkan cara. Ini bukan budaya parti yang berperlembagaan, ini budaya arahan tanpa semak imbang.”
Beliau menambah dahuluan ini membolehkan sesiapa sahaja di dalam Bersatu boleh dipecat tanpa sidang LD.
BACA JUGA: Pemecatan dibuat tanpa proses adil, Saifuddin buat tiga tuntutan yang tidak diendahkan