Aset Abu Sahid cecah RM224.3 juta di tiga negara disiasat SPRM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan aset Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, di luar negara yang dianggarkan mencecah RM224.3 juta.
Aset tersebut terbabit dalam siasatan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II).
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, aset yang dikaitkan dengan ahli perniagaan berusia 75 tahun itu dikenal pasti berada tiga negara.
Sebahagian besarnya, jelas beliau, berada di United Kingdom (UK) bernilai kira-kira RM145 juta, selain Switzerland dan Singapura, yang diperoleh tertuduh di antara 2017 hingga 2024.
Azam berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi luar negara, terutama dari UK untuk mendapatkan kembali aset itu.
“Banyak proses yang perlu SPRM patuhi di bawah bantuan perundangan bersama di antara negara, yang mana ini membabitkan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kami sudah menyediakan draf kepada AGC bagi memohon maklumat daripada pihak luar negara, terutama sekali daripada The International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) dari UK,” katanya, dipetik BH.
Pada 8 September lalu, Abu Sahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, membabitkan wang berjumlah RM313 juta.
Abu Sahid juga berdepan 13 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM139 juta.
BACA JUGA Anwar terima darjah kebesaran tertinggi Türkiye, lambang akrab dua negara