Gangguan tren terus menurun, hasil kerjasama erat kementerian & Prasarana
Kenyataan terkini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengenai prestasi pengangkutan awam memberi gambaran jelas bahawa usaha pembaikan yang konsisten akhirnya mula menunjukkan hasil yang ketara.
Sejak memegang portfolio tersebut, beliau menjadikan lawatan tahunan ke Prasarana setiap Januari sebagai satu rutin penting bagi menilai sendiri “kad laporan” pengangkutan awam negara, bukan sekadar bergantung kepada angka di atas kertas.
Data yang dibentangkan memperlihatkan penurunan drastik jumlah gangguan rel dalam tempoh tiga tahun.
Daripada 252 gangguan pada 2022, angka itu berjaya dikurangkan kepada 118 pada 2023, seterusnya 71 pada 2024 dan hanya 31 kes pada 2025.
Secara relatif, ini mewakili pengurangan sekitar 87 peratus, satu pencapaian yang sukar dinafikan dalam konteks sistem rel bandar yang kompleks dan beroperasi hampir tanpa henti setiap hari.
Namun, Menteri Pengangkutan sendiri tidak meletakkan pencapaian ini sebagai alasan untuk berasa selesa.
Sasaran sebenar, seperti yang ditegaskan beliau, tetap sifar gangguan. Dalam masa yang sama, pengiktirafan diberikan kepada barisan jurutera Rapid Rail yang berusaha membina budaya penyelenggaraan baharu, lebih sistematik dan berasaskan pencegahan.
Budaya kerja
Di sinilah mesej penting disampaikan iaitu pembaikan struktur dan budaya kerja adalah kunci kepada kestabilan jangka panjang, bukan sekadar pembaikan reaktif apabila gangguan berlaku.
Menariknya, kenyataan ini turut menyentuh dimensi psikologi pengguna. Persepsi rakyat terhadap pengangkutan awam, menurut beliau, dibentuk oleh pengalaman sebenar, bukannya statistik rasmi.
Walaupun trend gangguan semakin menurun, beberapa pengalaman buruk sudah memadai untuk membuatkan pengguna hilang keyakinan dan kembali kepada kenderaan persendirian.
Fenomena ini digambarkan sebagai “behaviourally fragile”, selari dengan dapatan laporan Khazanah Research Institute mengenai rapuhnya tabiat penggunaan pengangkutan awam.
Atas sebab itu, penekanan diberikan kepada keperluan pelan kontingensi yang pantas dan komunikasi yang berkesan setiap kali gangguan berlaku.
Dalam era maklumat segera, kelewatan atau kekeliruan maklumat boleh merosakkan kepercayaan awam dengan cepat.
Tambahan pula, cabaran baharu seperti kecurian kabel turut dikenal pasti sebagai punca gangguan mutakhir, dengan langkah-langkah sedang diambil untuk menanganinya.
BACA JUGA Bekas Panglima Tentera Darat kena reman 7 hari, ini pula nasib 2 isterinya