Anwar, penyokong MU, tetapi jumpa bintang Arsenal di Istanbul
Walaupun beliau mengisytiharkan secara terbuka sebagai penyokong Manchester United tetapi di Turkiye dia bertemu dengan pemain utama musuh ketatnya dari Arsenal.
Inilah yang berlaku. Di samping tugas-tugasn rasmi yang sarat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat bertemu dengan bintang bolasepak di Istanbul, Turkiye.
“Saya selaku penyokong Manchester United berkesempatan menerima kunjungan bekas bintang Arsenal, Mesut Özil, di Istanbul,” tulis Anwar dalam facebook beliau malam tadi.
Menurut Anwar, Mesut kini terlibat secara aktif dalam AK Party Republik Türkiye di samping terus komited dalam pelbagai inisiatif kemanusiaan.
“Dalam pertemuan ini, saya sempat berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan dengan beliau mengenai pelbagai perkara, termasuk melibatkan kepentingan umat Islam dan situasi kemanusiaan di Gaza.
“Sebagai selingan santai, perbualan kami turut menyentuh kisah cucu saya yang merupakan penyokong tegar The Gunners, satu perkara yang mengundang senyuman beliau,” kata Anwar.
Anwar mengambil kesempatan menjemput beliau ke Malaysia, khususnya bagi berkongsi pengalaman terkait bola sepak, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan anak muda dalam memperjuangkan keadilan dan solidariti sejagat.
Anwar dan rombongan berada di Türkiye untuk lawatan rasmi ke negara yang dipimpin oleh sahabat baik beliau, Recep Tayyib Erdogan itu.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim membuat ulasan ringkas tetapi menarik dalam isu bolasepak ini.
“Kedudukan sekarang MU dan PN seri. Sama-sama tiada pengurus, tiada pengerusi,” tulis pensyarah kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang juga penganalisis Ilham Centre itu.
Selepas 10 hari berlalu, Perikatan Nasional (PN) masih belum melantik pengerusinya selepas Tan Sri Mahiaddin Md Yassin meletakkan jawatan.
Ia berlaku selepas dakwaan tikam menikam berlaku dalam PN ekoran tragedi yang berlaku di Perlis.
BACA JUGA Pendekatan Steven Sim sangat disenangi, jalan teruih YB