Kerja lebih kuat, turun ke lapangan lebih kerap, janji Mohamad Sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berjanji akan bekerja lebih kuat, turun ke lapangan lebih kerap pada tahun 2026 ini.
Janji ini dibuat beliau selepas selesai perkampungan (retreat) pengurusan tertinggi kementerian beliau yang diadakan di Pulau Redang, Terengganu.
“Insya-Allah, tahun 2026 akan menjadi tahun untuk kita bekerja lebih kuat, turun ke lapangan dengan lebih kerap dan memastikan setiap usaha yang dilakukan memberi kebaikan kepada rakyat serta mengukuhkan keterjaminan makanan negara.
“Doakan urusan dipermudahkan,” kata Mohamad menerusi facebook beliau.
Selepas ini, beliau juga mahu setiap perancangan yang telah dirangka dapat dilaksanakan sebaik mungkin agar petani, penternak dan nelayan negara ini benar-benar merasai manfaatnya, dan rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi.
“Bang Mat ingin berpesan kepada seluruh warga KPKM agar kita betul-betul berusaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.
“Isu ini bukan perkara kecil dan tidak boleh ditangani dengan cara biasa-biasa. Kita perlu sentiasa berfikir jauh ke hadapan, melangkaui rutin harian dan zon selesa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, bercakap memang nampak mudah, tetapi untuk melaksanakannya memerlukan keazaman yang kuat, disiplin yang tinggi dan kerja berpasukan yang ikhlas.
Setiap peranan, sekecil mana sekalipun, memberi makna besar kepada keseluruhan sistem bekalan makanan negara, katanya.
“Mudah-mudahan kita semua dapat terus berkhidmat dengan sebaiknya untuk rakyat dan negara, demi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, terjamin dan mampan,” katanya.
Janji Mohamad ini disambut baik oleh warga petani dan nelayan.
“Petani, nelayan, penternak semua harap pada perancangan macam ni,” kata Syed Hadi ketika mengulas kenyataan Presiden Amanah ini.
Pengilang dan pembekal baja juga menyambut baik janji beliau itu.
Hanita Hashim menulis, “Alhamdulillah…semoga Tahun 2026 ini makin rancak pertanian kita. Semoga YB sihat selalu..Aminn.
“Terima kasih dari kami pengilang dan pembekal Baja Syt.Pteb Perak Sdn. Bhd,” tulis beliau.
Dalam pada itu, ada juga yang memohon agar kerajaan khasnya ajensi di bawah Mohamad melonggarkan sedikit syarat untuk pinjaman pertanian.
“Salam YB Bang Mat, saya mohon dilonggarkan sikit permohonan bantuan untuk usahawan pertanian terutama yang minat dan bergelumang dengan kerja pertanian.
“Contoh pernah kerja di Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan sebagainya.
“Syarat ketat, mesti punya tanah sendiri atau tanah sewa bergeran. Sebagaimana jadi pada saya tanam cili/ terong di tanah lot lidi. Jabatan Pertanian (JP) tak terima,” tulis Asaari Saad.
BACA JUGA Anwar, penyokong MU, tetapi jumpa bintang Arsenal di Istanbul