RM100 SARA masuk terus, jualan runcit & borong ‘meletup’

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bahawa jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mengalami peningkatan tahun ke tahun sebanyak 6.4 peratus dengan mencecah RM158.9 bilion pada November 2025.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan sektor perdagangan borong dan runcit pada tempoh itu didorong oleh prestasi positif semua subsektor.

Dari segi indeks volum, sektor perdagangan borong dan runcit mencatat peningkatan tahun ke tahun sebanyak 5.2 peratus.

“Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh subsektor kenderaan bermotor yang meningkat 6.8 peratus, diikuti oleh perdagangan borong dan perdagangan runcit masing-masing sebanyak 6.0 peratus dan 4.3 peratus.

“Bagaimanapun, selepas pelarasan musim, indeks volum turun sebanyak 2.0 peratus bulan ke bulan,” katanya menerusi kenyataan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit November 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, subsektor perdagangan borong mencatat jualan berjumlah RM70.1 bilion yang memaparkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 6.0 peratus.

“Subsektor perdagangan runcit pula mencatat jualan sebanyak RM69 bilion, meningkat 6.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Selain itu, subsektor kenderaan bermotor turut menunjukkan prestasi kukuh dengan jualan berjumlah RM19.8 bilion, naik 8.0 peratus tahun ke tahun,” jelasnya.

Beliau berkata, pertumbuhan itu turut disokong sebahagiannya oleh penggunaan berterusan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100.

Dalam pada itu, Mohd Uzir menjelaskan bahawa jualan runcit dalam talian terus mencatat pertumbuhan positif pada November dengan indeks jualan meningkat sebanyak 7.3 peratus tahun ke tahun.

“Trend ini terus mencerminkan permintaan pengguna yang berterusan dalam segmen e-dagang,” kata beliau lagi.

BACA JUGA “Kalau nak cari bini jangan cari macam Pas”