Pengerusi PN daripada Pas mesti dalam kalangan ulama
Seorang bekas pemimpin tertinggi Pas menegaskan bahawa jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) perlu diwakili oleh pemimpin daripada kalangan ulama, selaras dengan prinsip Kepimpinan Ulama yang menjadi teras perjuangan parti itu sejak awal 1980-an.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, jika Majlis Tertinggi PN yang turut dianggotai Gerakan dan Parti Maju Demokratik Malaysia (MIPP) bersedia menerima Pas sebagai pengerusi gabungan itu, maka sosok yang paling wajar ialah Presiden Pas.
“Resolusi Muktamar Pas yang menegaskan bahawa Pas perlu memimpin PN harus dibaca sekali dengan resolusi Muktamar Pas berkaitan Kepimpinan Ulama, yang telah dirumuskan sejak awal 1980-an lagi.
“Selepas itu, hampir setiap kali Muktamar Pas akan ada penegasan-penegasan untuk memperkasakan Kepimpinan Ulama,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, Zuhdi mengulas reaksi segelintir pendukung Pas yang dilihat tidak berpuas hati dengan pandangannya itu, sambil menyifatkan golongan tersebut sebagai tergesa-gesa dan tidak sabar untuk melihat perubahan landskap kuasa di Putrajaya.
Beliau menegaskan, kepimpinan ulama bukan sekadar konsep fiqh Islami, tetapi telah menjadi asas politik Pas.
Katanya, sejarah menunjukkan individu yang gagal menerima prinsip itu akhirnya meninggalkan parti, sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.
Pendukung Pas
Zuhdi berkata, jawatan Pengerusi PN lazimnya dilihat sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya.
“Jika Pengerusi PN itu daripada Pas, maka Malaysia kelak akan mendapat PM dari kalangan golongan ulama.
“Para pendukung Pas yang sudah lama berkecimpung dengan aktivisme Pas, hasrat ini sudah tertanam lama,” katanya yang pernah menyandang jawatan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Air dan Alam Sekitar.
Tegas beliau lagi, penanda aras Pas bagi seseorang Ketua Kerajaan adalah seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
“Menurut Pas, gaya hidup, hubungan sosial, watak pemimpin dan yang lebih utamanya gagasan kepemimpinan seseorang MB atau kelaknya seorang PM, mestilah seperti dua sosok ulama ini.
“Sekiranya benar, Pas mahu melaksanakan resolusi Muktamar Pas baru-baru ini, tidak boleh tidak bakal Pengerusi PN yang dinamakan oleh Pas adalah Tuan Guru Haji Abdul Hadi atau paling tidak Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Menamakan tokoh lain sebagai Pengerusi PN mewakili Pas, adalah satu percanggahan dengan prinsip politik Pas,” tegas Zuhdi lagi.
BACA JUGA 5 golongan ini tidak layak ‘booking’ makan di Rembayung