Dokumen AGC sejak 2018 lagi dah dedah kes Zahid lemah dari awal
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menegaskan keputusan No Further Action (NFA) terhadap 47 pertuduhan membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Lokman berkata, keputusan tersebut adalah selari dengan penilaian dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak tahun 2018.
Menurut beliau, kes melibatkan dakwaan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi itu sejak awal lagi telah dikenal pasti sebagai lemah dari sudut pembuktian undang-undang.
“Ini bukan cerita hari ini, bukan selepas DNAA, tetapi sejak 2018 lagi dokumen dalaman AGC sudah menyatakan kes ini tidak cukup bukti,” katanya menerusi video janaan AI dikongsikan di Facebook beliau.

Turut disertakan memo rasmi dari Unit Khas Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara yang secara jelas menyebut bahawa tiada pertuduhan sepatutnya dibuat kerana keterangan tidak mencukupi bagi membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Akta SPRM serta AMLA.
Pada 8 Januari lalu, Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata keputusan berkenaan sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes terbabit.
Menurutnya, ia selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.
Prima facie
Mengulas lanjut, Lokman menegaskan bahawa semua siasatan telah dijalankan dan kesimpulan pegawai pendakwa sendiri mendapati bukti tidak mencukupi walaupun untuk melepasi tahap prima facie.
“Ini bukan cakap politik. Ini adalah dokumen rasmi AGC,” tegas beliau.
Namun, Lokman mempersoalkan mengapa pendakwaan tetap diteruskan ketika itu walaupun penilaian dalaman telah memutuskan sebaliknya, khususnya semasa Tan Sri Tommy Thomas memegang jawatan Peguam Negara.
Beliau turut mengaitkan perkembangan tersebut dengan konteks politik ketika itu, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak pembubaran UMNO, namun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO menolak desakan berkenaan.
“Di situlah naratif mula berubah. Kes tetap dibawa ke mahkamah walaupun pegawai pendakwa sendiri kata bukti tak cukup,” katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai perlantikan hakim yang mendengar kes berkenaan dan menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang wajar dipersoalkan oleh rakyat.
Menurutnya, selepas pertukaran Peguam Negara dan siasatan lanjut dilakukan semula oleh SPRM, keseluruhan bahan bukti dinilai sekali lagi secara menyeluruh.
“Keputusannya tetap sama — keterangan tidak mencukupi,” katanya.
Beliau menegaskan keputusan NFA yang dicapai hari ini hanya mengesahkan pendirian awal AGC sejak 2018 bahawa pertuduhan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak sepatutnya diteruskan.
“Bezanya cuma satu. Siapa yang pegang kuasa ketika itu?” soal Lokman lagi.
Memberhentikan prosiding
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Mahkamah Tinggi turut dilapor memaklumkan bahawa siasatan yang masih berjalan dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, menjadi asas keputusannya ketika itu untuk menolak permohonan Ahmad Zahid supaya dibebaskan sepenuhnya daripada 47 pertuduhan berkenaan.
Pada Jun 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes dihadapi Ahmad Zahid membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Melalui permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara serta Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.
BACA JUGA MN tak jadi, PN bergoncang: Pas alami dilema besar menuju PRU16