Penternakan babi: Exco pertanian menghadap sultan Isnin ini
Exco infrastruktur dan pertanian Selangor Izham Hashim akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berhubung penternakan babi di Kuala Langat yang telah memurkakan baginda.
MMKN telah pun memperketatkan syarat pengoperasian penternakan babi khususnya berkaitan pengurusan sisa.
“Keputusan ini diambil setelah mengambil kira semua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan setelah belasan tahun,” kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan.
“Kerajaan negeri menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat serta pedoman sultan,” tambahnya.
Sultan Sharafuddin, mengusulkan wakil-wakil rakyat untuk menempuh sendiri pengalaman penduduk sekitar kawasan penternakan babi, yang menanggung pelbagai kesan termasuk bau busuk, pencemaran air sungai, serta masalah lalat.
Kerajaan Selangor telah memutuskan pelaksanaan penternakan babi secara berpusat an moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Sementara projek di Bukit Tagar disiapkan, kerajaan negeri membenarkan penternak sedia ada di 112 ladang di Tanjong Sepat, Kuala Langat ketika ini terus beroperasi di lokasi masing-masing.
Sultan bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan Kuala Langat lokasi sementara penternakan babi kerana risau pencemaran yang berlarutan akan menjadi lebih buruk.
BACA JUGA:Cuba tinggal dekat ladang babi, titah Sultan Selangor buat wakil rakyat