PN pilih pengerusinya bulan depan?

Perikatan Nasional (PN) besar kemungkinan akan bermesyuarat pada bulan Februari untuk memutuskan calon pengerusi pakatan tersebut.

“Ia besar kemungkinan akan berlangsung pada bulan hadapan kerana ada keperluan notis mesyuarat 14 hari.

“Majlis Tertinggi PN perlu menerima peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Yassin dan mengumumkan mesyuarat tersebut,” kata presiden MIPP P Punithan ketika dihubungi oleh Harapan Daily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kemelut di dalam blok pembangkang tersebut yang masih belum melantik pengerusi baharu.

Tan Sri Mahiaddin Yassin telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi, berkuatkuasa 1 Jan.

Punithan juga telah menyatakan bahawa beliau sendiri telah menghantar surat kepada presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 9 Jan untuk bertemu bagi membincangkan isu pelantikan pengerusi PN baharu.

Dalam pada itu beliau turut mendedahkan bahawa PN tidak mempunyai calon pengerusi lagi.

Ini meskipun Pas mendakwa bahawa ia mempunyai calon yang ramai yang boleh mengambil alih jawatan.

“Buat masa ini tiada calon yang disenarai pendekkan,” kata beliau.

Punithan turut ditanya berkenaan pendirian MIPP dalam isu pelantikan pengerusi PN baharu.

“MIPP mengambil pendirian tegas bahawa tiada keputusan unilateral diambil di dalam PN. Tiada pandangan yang lebih hebat berbanding yang lain.

“Calon pengerusi PN mestilah wasatiyah dan diterima oleh segenap rakyat Malaysia.

“Kita kerajaan dalam penantian dan ini tidak boleh dipertaruhkan. Pengerusi PN juga mestilah seorang yang boleh bekerja dengan semua parti komponen PN dan diterima seluruh rakyat.

“Beliau perlu mempunyai rekod menguruskan Malaysia dengan pelbagai kaum. Ini bukan berkaitan kaum atau agama kerana Malaysia negara pelbagai kaum dan agama. Pengaruh beliau perlu melangkaui Semenanjung Malaysia.

“Kita perlukan seorang pemimpin yang boleh memenangi sokongan Sabah dan Sarawak juga.”

Sementara itu, sumber di dalam PN menyatakan bahawa sekiranya PN gagal memilih pengerusinya bulan hadapan, pemangku pengerusi boleh mengemudi pakatan tersebut buat sementara waktu.

BACA JUGA: Pas panggil mesyuarat tergempar bincang isu pengerusi PN