Dah masuk 2026 masih lagi nak main isu perkauman

Satu hantaran Facebook oleh halaman pro-Pas mengundang kritikan ramai selepas didakwa cuba memainkan sentimen perkauman berkaitan jumlah ahli majlis berbangsa Melayu dalam Majlis Perbandaran Kajang.

Laman FB Friends of Pas memuat naik carta organisasi Majlis Perbandaran Kajang dengan kapsyen “boleh bilang berapa kerat orang Melayu”.

Carta berkenaan menunjukkan komposisi ahli majlis terdiri daripada 11 orang Melayu (46 peratus), lapan Cina (33 peratus) dan lima India (21 peratus).

Perkongsian itu dihujani banyak komen kritikan kerana cubaan bermain dengan isu perkauman dan mendatangkan rasa benci terhadap kaum lain.

Orang ramai menegaskan kepentingan kualiti kepimpinan merentas pelbagai kaum berbanding hanya menumpukan kepada satu kaum semata-mata, yang akhirnya kerja tidak dilaksanakan dengan baik.

Ada juga yang membangkitkan soal konflik politik di Perlis yang walaupun semua Ahli Parlimennya Melayu, masih lagi bertelegah merebut kuasa.

Seorang penyokong Pas juga meninggalkan komen, tidak bersetuju dengan isu yang cuba dibangkitkan.

“Aku tolong kira kan admin. Melayu-Islam 11 orang termasuk YDP dia, Cina 8 dan India 5 orang. Admin jangan mainkan sentimen kebencian kaum sini. Jangan samakan negeri-negeri lain dengan negeri dipegang PN. Kalau begini doktrin pembangkang lambat lagilah nak pegang kerajaan pusat,” komen Nur Hafizzal.

“Dekat Perlis 100% Melayu Islam. Tikam menikam jatuh menjatuh khianat mengkhianati tebuk atap sesama sendiri. Tak payah sembang kemaih sangat lah..,” komen Asro.

“Saya walapun walaun, tapi apa yang tak kena nye admin. Aduuhhh. Okay je tengok. Okay lah semua kaum ada,” kata Muhammad Hanif.

BACA JUGA Desakan MP Pas punca Mahiaddin letak jawatan, siapa dia ya