Kebangkitan rakyat Eropah isyarat perubahan sokongan terhadap Palestin – Mohamad Sabu

FOTO BERITA: Majlis Wacana bersama bekas Ahli Parlimen United Kingdom, George Galloway yang turut dihadiri oleh YB Datuk Seji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di TAMU Hotel, Kuala Lumpur. 11hb Januari 2026 (Ahad)

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu menegaskan bahawa kebangkitan kesedaran rakyat di Eropah terhadap isu Palestin merupakan isyarat jelas kepada perubahan landskap geopolitik dunia, khususnya sokongan antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Wacana bersama bekas Ahli Parlimen United Kingdom, George Galloway.

Dalam ucapannya, Mohamad Sabu merakamkan penghargaan terhadap George Galloway yang disifatkannya sebagai tokoh penting dalam membuka minda masyarakat Eropah dan dunia mengenai realiti sebenar penindasan serta keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak dan wanita. Beliau berkongsi pengalaman peribadinya bertemu George Galloway di United Kingdom beberapa bulan lalu, yang menurutnya memperkukuh keyakinan bahawa perubahan sokongan rakyat Eropah semakin ketara, meskipun sebahagian kerajaan negara Islam dan Arab dilihat mengambil pendirian berbeza. “Walaupun terdapat negara-negara Arab yang menjalin hubungan dengan Israel, kita dapat melihat satu demi satu negara di Eropah kini semakin menolak Israel akibat tindakan genosid yang berterusan. Perubahan ini digerakkan oleh suara dan kesedaran rakyat,” katanya.

Menurut Mohamad Sabu, Israel kini menjadi simbol terakhir imperialisme, dan perubahan sikap rakyat Eropah bakal mempengaruhi pendirian kerajaan-kerajaan mereka pada masa hadapan. Beliau turut merujuk pandangan beberapa penganalisis antarabangsa yang menjangkakan kedudukan Israel akan semakin terhakis seiring perubahan kesedaran global. Beliau juga menyentuh mengenai peranan kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat, yang menurutnya berada di kemuncak kekuatan tetapi berdepan cabaran dalaman dan perubahan sokongan sekutunya di Eropah, termasuk dalam isu alam sekitar dan hak asasi manusia.

Dalam konteks Malaysia, Mohamad Sabu menegaskan bahawa sokongan terhadap Palestin merentasi agama dan kaum, bukan hanya terhad kepada umat Islam semata-mata, sebaliknya berlandaskan nilai kemanusiaan sejagat dan penentangan terhadap penindasan. Beliau turut berkongsi pengalamannya menyaksikan demonstrasi dan solidariti rakyat di bandar-bandar utama dunia seperti New York dan London, yang menurutnya membuktikan isu Palestin kini menjadi suara global rakyat, bukan lagi isu terpencil.

Program wacana tersebut turut dihadiri pimpinan Parti Amanah Negara, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh masyarakat serta para hadirin yang mengikuti perbincangan mengenai perkembangan geopolitik semasa dan perjuangan pembebasan Palestin. Mohamad Sabu menyatakan keyakinannya bahawa dengan kebangkitan kesedaran rakyat dunia, khususnya di Eropah, keadilan untuk Palestin akan terus mendapat sokongan sehingga mencapai pembebasan yang hakiki.

Antara pemimpin yang hadir Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul Speaker Dewan, YB Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, Cikgu Azmi Abdul Hamid, Tuan Hj. Muhammad Faiz Fadzil, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, Dato’ Wira Haji Mahfuz Omar, Datuk Dr. Hasan Bahrom, YB Adly Zahari, Tuan Hj Khalid Samad, YB Dato’ Ir. Izham Hashim, YB Abbas Salimi Azmi, YB Danial Al-Rashid, Senator Isaiah Jacob, Chua Tian Chang, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan serta pendokong pembebasan Palestin