‘Berikan Pas peluang kemudi teraju PN hadapi PRU16’
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan penerimaan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu terhadap hasrat pengunduran Tan Sri Mahiaddin Yassin daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai satu keputusan yang cukup baik.
Ahmad Fadhli berkata, langkah tersebut membuka ruang kepada PN untuk bergerak ke hadapan dengan lebih tersusun dan bersedia menghadapi cabaran politik akan datang, khususnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan turut menyatakan keyakinan bahawa Pas wajar diberikan peluang untuk mengemudi teraju kepimpinan PN dalam usaha mengembalikan gabungan pembangkang itu ke Putrajaya.
“PN Insya Allah akan bergerak ke hadapan.
“Berikan Pas peluang untuk mengemudi teraju PN menghadapi PRU16. Kita bangkit mara ke Putrajaya,” kata Ahmad Fadhli lagi menerusi hantaran di Facebook pagi ini.
Terdahulu, MPT Bersatu menerima keputusan Mahiaddin meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PN selepas mendengar penjelasan Ahli Parlimen Pagoh itu pada mesyuarat MPT parti malam tadi.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, bagaimanapun, MPT juga membincangkan secara mendalam mengenai hala tuju PN dalam persiapan PRU16 untuk maju ke hadapan dengan dasar yang sederhana, progresif dan prihatin rakyat.
“MPT mengambil pendirian untuk Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN serta kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.
Berkuat kuasa 1 Januari lalu, Mahiaddin telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Susulan itu, beberapa pemimpin Bersatu turut menarik diri daripada jawatan PN, termasuk Setiausaha Agung dan ketua negeri sekaligus menandakan krisis dalaman PN yang serius.
BACA JUGA Bersatu terima Mahiaddin letak jawatan Pengerusi PN