‘Duit raya’ naik, 50,000 penjawat awam Negeri Sembilan bakal dapat RM300
Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM300 untuk lebih 50,000 penjawat awam Persekutuan menjelang sambutan Aidilfitri.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata bantuan membabitkan peruntukan hampir RM15 juta itu akan disalurkan antara Februari hingga Mac ini atau sebelum sambutan Aidilfitri.
“Tahun lalu, kita salurkan bantuan sama sebanyak RM200, tetapi kali ini dinaikkan kepada RM300 membabitkan semua penjawat awam Persekutuan seperti tentera, polis, guru dan agensi lain yang berkhidmat di Negeri Sembilan.
“Pemberian BKK ini sebagai suntikan semangat, selain menghargai sokongan padu penjawat awam Persekutuan kepada kerajaan negeri dalam memberikan kerjasama dengan agensi sedia ada,” katanya selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2026 di Seremban, hari ini.
Pada 5 Disember lalu, Aminuddin ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-16, mengumumkan pemberian BKK sebanyak maksimum tiga bulan gaji kepada semua penjawat awam di negeri itu.
Bantuan itu diberikan kepada 6,613 penjawat awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan pembayaran dilakukan pada bulan ini atau sebelum Aidilfitri tahun ini.
BACA JUGA Bersatu terima Mahiaddin letak jawatan Pengerusi PN