Boleh cabar keputusan Peguam Negara dalam kes DNAA Zahid Hamidi, tapi…
OLEH DR ZULQARNAIN LUKMAN
Pada 8 Januari 2026, AGC telah membuat satu kenyataan berkaitan dengan tindakan NFA ke atas kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu selaras dengan kuasa mereka yang diperuntukkan di bawah Per. 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan AGC untuk menghentikan pendakwaan terhadap Ahmad Zahid sememangnya akan mengundang kontroversi disebabkan AGC telah menghentikan pendakwaan di peringkat kesnya sudah dipanggil untuk membela diri.
Maksudnya, pada peringkat itu pihak pendakwa raya telah membuktikan kesnya secara prima facie.
Namun, apa pun kontroversi yang wujud, satu fakta yang tidak boleh dipertikaikan adalah bahawa Ahmad Zahid masih belum lagi disabitkan oleh Mahkamah sebagai bersalah.
Jika pun kita katakan bahawa Ahmad Zahid kelak didapati bersalah, maka ruang untuk rayuan masih lagi wujud.
Mungkin inilah faktornya yang menyebabkan AGC tidak meneruskan dengan pendakwaan disebabkan faktor-faktor sukar untuk bukti-bukti yang ada pada masa itu tidak cukup kuat untuk mempertahankan kes pendakwaan sehingga ke peringkat rayuan.
Pada 12 Januari 2026, portal The Edge telah melaporkan bahawa keputusan NFA itu telah dibuat secara teliti selepas mengambil kira 6 representasi yang dihantar kepada AGC.
Kata Peguam Negara, “Therefore, when people say that the existence of a prima facie case is sufficient, that view is inaccurate, with due respect. The decision I made was not made arbitrarily,”
[Oleh itu, apabila orang menyatakan bahawa kewujudan kes prima facie itu sudah mencukupi sebenarnya pandangan sedemikian adalah tidak tepat. Keputusan yang saya buat bukanlah secara sesuka hati saya atau sembrono]
Apa pun, kenyataan AGC itu masih bersifat terlalu umum tanpa penjelasan yang terperinci. Ini yang menyebabkan beberapa pihak tidak berpuas hati.
Pihak AGC juga tidak mungkin mendedahkan kesemua bukti mereka di media kerana ada sesetengah bukti itu masih tertakluk kepada kerahsiaan.
Di dalam kes Sundra Rajoo Nadarajah v Menteri Luar Negeri, Malaysia & Ors [2021], Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa kuasa AGC untuk mendakwa atau menghentikan pendakwaan masih boleh dicabar jika seseorang itu berjaya membuktikan bahawa AGC telah membuat keputusan yang menyalahi undang-undang.
Namun, tindakan untuk mencabar keputusan AGC itu memerlukan satu pembuktian yang kuat bahawa AGC telah bertindak secara tidak sah.
Ini kerana Mahkamah Persekutuan masih menerima pakai doktrin pengasingan kuasa yang mana kuasa kehakiman tidak boleh sewenang-wenangnya mencampuri kuasa pendakwaan yang diberikan kepada AGC di bawah Perlembagaan.
[109] That said, we accept that at stake in all review cases is the notion that the courts must be cautious not to run awry of the fine dividing line of the doctrine of separation of powers. In this regard, while the AG/PP’s powers are reviewable, the AG/PP’s discretion under art 145(3) of the FC, as a matter of policy, remains subject to a higher threshold of scrutiny. eLaw Citation: [2021] 5 MLRA 1
Berasaskan prinsip dalam kes Sundra Rajoo Nadarajah di atas, jika ada pihak yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan DNAA Ahmad Zahid, boleh memfailkan satu semakan kehakiman untuk mencabar keputusan tersebut.
Namun, cabaran sedemikian mestilah berasaskan kepada fakta dan keterangan yang kuat, contohnya ianya dibuat berdasarkan suapan atau kerana campur tangan politik.
Akhir sekali, kita sebagai orang awam perlu melihat konteks ini secara keseluruhan.
Kita harus memahami bahawa Perlembagaan telah memberikan kuasa kepada AGC untuk meneruskan atau menghentikan sesuatu pendakwaan dan kita harus hormati kuasa tersebut.
Jadi sekarang ini adakah kita harus mengenepikan rasa curiga terhadap keputusan AGC itu atau kita harus mempertahankan institusi yang wujud di bawah Perlembagaan ini dan tidak memainkan naratif yang boleh menjatuhkan institusi tersebut?
Mungkin jawapannya kelak adalah di tangan Kerajaan Madani pada hari ini yang telah mengumumkan untuk membentangkan satu akta untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Langkah untuk mengasingkan bidang kuasa ini adalah satu langkah progresif yang patut disokong supaya wujud lebih pengasingan kuasa yang telus dan transparen.
BACA JUGA Hannah Yeoh menang saman, Musa Hassan diperintah bayar RM250,000 kerana memfitnah