Kerajaan Selangor perkukuh gerakan Koperasi sebagai tonggak pembangunan sosioekonomi rakyat – Dato Rizam

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Apresiasi Gerakan Koperasi Rumpun Selangor 2025 disempurnakan oleh YB Dato’ Hj. Rizam Izam Hj. Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna Negeri Selangor Wydham Hotel, Klang Selangor. 13hb Januari 2026 (Selasa)

Kerajaan Negeri Selangor terus menzahirkan penghargaan serta komitmen berterusan terhadap pembangunan dan pemerkasaan gerakan koperasi di negeri ini, sejajar dengan peranan strategiknya sebagai instrumen penting dalam pembangunan sosioekonomi rakyat.

Perkara tersebut ditegaskan oleh YB Dato’ Hj. Rizam Bin Hj. Ismail, EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Rumpun Selangor Tahun 2025, di sini.

Menurut beliau, majlis berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi simbol penghargaan tulus kerajaan negeri kepada individu dan organisasi koperasi yang telah mencurahkan bakti, tenaga serta idea bagi memastikan koperasi kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Gerakan koperasi yang telah bertapak sejak tahun 1922 merupakan antara tonggak penting pembangunan sosioekonomi negara. Ia berperanan merapatkan jurang sosial serta membina jaringan sokongan berasaskan prinsip keadilan, kesaksamaan, kebersamaan dan demokrasi,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan koperasi tidak seharusnya dinilai semata-mata melalui keuntungan, sebaliknya berdasarkan manfaat yang dapat dirasai dan dikongsi bersama oleh anggota.

Dalam menghadapi landskap ekonomi global yang semakin mencabar, termasuk ketidaktentuan ekonomi, perubahan teknologi yang pantas serta kehendak pasaran yang dinamik, beliau menyeru kepimpinan koperasi agar sentiasa bersedia melakukan penyesuaian dan transformasi secara kolektif serta bertanggungjawab demi menjamin kelestarian koperasi.

YB Dato’ Hj. Rizam turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Selangor kini sedang merangka strategi bagi memperkukuh sekuriti makanan negeri melalui penglibatan koperasi dalam sektor pengeluaran makanan, asas tani, perikanan, perladangan, pemborongan dan peruncitan.

Antara inisiatif utama yang disasarkan dalam tempoh tiga tahun akan datang termasuk pembangunan Pusat Pengumpulan Hasil Koperasi, pemerkasaan Koperasi Masjid, peningkatan Program Jualan Rumpun Selangor (JRS) serta pembangunan Jeti Koperasi.

Beliau berkata, dengan keanggotaan koperasi di Selangor seramai 648,000 orang, gerakan koperasi mempunyai potensi besar untuk membantu rakyat mendepani cabaran kos sara hidup. Sehingga 30 Jun 2025, Malaysia merekodkan sebanyak 16,342 koperasi dengan keanggotaan 7.4 juta orang, aset bernilai RM267 bilion dan perolehan RM40 bilion. Selangor kekal mencatat kedudukan tertinggi dengan 2,187 koperasi, aset RM2.5 bilion dan perolehan sekitar RM653 juta.

Bagi menangani isu kos sara hidup, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan pelaksanaan Jualan Rumpun Selangor pada tahun 2026, yang menawarkan barangan keperluan asas dan harian dengan potongan harga sehingga 30 peratus kepada anggota koperasi dan komuniti setempat.

Kerajaan negeri juga berharap koperasi dapat mengambil peluang mempelbagaikan aktiviti perniagaan berimpak tinggi dengan menjadikan kejayaan koperasi di luar negara sebagai penanda aras bagi memperkukuh lagi peranan koperasi di Selangor.

Bagi menangani isu kos sara hidup, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan pelaksanaan Jualan Rumpun Selangor pada tahun 2026, yang menawarkan barangan keperluan asas dan harian dengan potongan harga sehingga 30 peratus kepada anggota koperasi dan komuniti setempat.

Mengakhiri ucapannya, YB Dato’ Hj. Rizam merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah dan penghargaan serta berharap pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin semangat untuk terus melakar kejayaan yang lebih gemilang demi kemakmuran Negeri Selangor dan kesejahteraan rakyat.