Menantu Hadi mahu Tuan Ibrahim jadi Pengerusi PN, kalau bukan ulama tunggulah Jebon 2.0
Menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara terbuka menyatakan bahawa jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri wajar dipegang oleh seorang ulama, dengan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dinamakan sebagai calon paling layak.
Zaharudin Muhammad berkata, jika Majlis Tertinggi (MT) PN memutuskan agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memegang jawatan Pengerusi PN dan calon Perdana Menteri, maka perkara itu tertakluk kepada keputusan mesyuarat, selari dengan konsep Isytirak Siyasi (perkongsian politik).
Bagaimanapun, tegasnya, situasi berbeza sekiranya Pas diberi mandat menentukan kepimpinan tertinggi gabungan itu.
“Jika Pas perlu buat keputusan, maka antara calon yang paling layak ialah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jadi Pengerusi PN seterusnya Perdana Menteri jika Pas menang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pas Kawasan Sungai Buloh itu mengemukakan tiga faktor utama mengapa Tuan Ibrahim wajar diketengahkan, iaitu kedudukan sebagai Timbalan Presiden Pas, pengalaman dalam Kabinet sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), serta latar belakang sebagai ulama.
Namun, Zaharudin menegaskan, faktor ketiga itu sebenarnya adalah paling utama walaupun disenaraikan di tempat terakhir.
“Walaupun ia datang nombor tiga, tetapi syarat ketiga ini paling utama, iaitu mesti ulama atau lebih tepat mesti faqih kerana syarat ini adalah hukum yang disebut secara ijmak mazhab,” tegasnya.
Polemik lama
Mengulas pandangan segelintir pihak yang berpendapat jawatan Pengerusi PN dan Perdana Menteri tidak semestinya disandang oleh ulama, Zaharudin menganggap hujah itu sebagai mengulangi polemik lama yang pernah timbul ketika era pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Saya tengok ada dua tulisan yang bahas kata Pengerusi PN dan PM tak semestinya ulama. Jawapan kepada tulisan ini agak akademik syariah dan boleh rujuk artikel di IPNI,” katanya.
Beliau turut mengaitkan hujah tersebut dengan pengalaman lalu ketika menentang kepimpinan yang digelarnya sebagai “Jebon 1.0”, sambil menyindir kemungkinan kemunculan versi baharu.
“Bila saya baca dua komen yang kata tak perlu ulama dengan alasan-alasannya, segar kembali ingatan waktu Jebon 1.0 dulu sampai tertanya-tanya, adakah wujud Jebon 2.0?” tempelaknya.
BACA JUGA Malaysia perlu politik matang, berteraskan muafakat – Anwar