40 peratus hasil Sabah: Mesyuarat kedua dijadual bulan ini
Mesyuarat kedua yang dijadualkan bulan ini akan membincangkan pelaksanaan pemberian tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh oleh Sabah.
Langkah itu sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan perbincangan itu akan berlangsung antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Sabah.
Beliau turut menjelaskan tempoh 90 hari bagi semakan semula hak 40 peratus hasil bersih Sabah, susulan keputusan serta arahan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terhadap Kerajaan Persekutuan pada Oktober lalu, berakhir hari ini.
Menteri Komunikasi berkenaan berkata, mesyuarat kedua berkenaan merupakan kesinambungan kepada perbincangan awal pada November lalu.
“Saya juga sudah mendapatkan pengesahan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai jumlah mesyuarat yang sudah diadakan dalam tempoh 90 hari daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu berakhir pada hari ini.
“Dan dalam tindakan adalah mesyuarat kedua yang akan diadakan bulan ini, maksudnya dalam satu, dua minggu ke depan ini antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan juga seterusnya kerajaan negeri Sabah sebagai lanjutan kepada perbincangan awal yang diadakan November lalu,” kata beliau.
Fahmi berkata demikian pada Sidang Media selepas Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, segala perincian mengenai mekanisme, pembayaran dan perkara berkaitan perlu diputuskan sebelum tempoh 180 hari berakhir.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, Kerajaan Persekutuan masih mempunyai tempoh 90 hari lagi untuk kedua-dua pihak memuktamadkan semua perkara berkaitan.
“Ia mesti dimuktamadkan, dipersetujui antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Jadi tempoh masih ada lagi 90 hari tapi komitmen Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah untuk melunaskan perjanjian yang dibuat oleh bapa-bapa Malaysia, termasuk dalam perkara MA63 berkaitan 40 peratus hasil bersih kepada Sabah,” kata Fahmi lagi.
BACA JUGA Menantu Hadi mahu Tuan Ibrahim jadi Pengerusi PN, kalau bukan ulama tunggulah Jebon 2.0