ATM ambil serius, tidak akan kompromi salah guna kuasa anggotanya
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius isu tatakelola dan penyalahgunaan kuasa membabitkan anggotanya dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan kepada undang-undang.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP), ATM ketika ini giat melaksanakan langkah rombak dan rawat serta penambahbaikan berkaitan tatakelola pengurusan dan pentadbiran secara teratur, berfakta dan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
Justeru, JPP memohon agar semua pihak memberi ruang yang sewajarnya kepada ATM untuk memperbetulkan keadaan melalui mekanisme dan proses yang telah ditetapkan, tanpa sebarang tekanan atau spekulasi yang boleh menjejaskan ketelusan usaha berkenaan.
“JPP menyeru seluruh pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia agar terus kekal bersatu, berdisiplin serta menaruh keyakinan terhadap proses penguatkuasaan dan kerangka undang-undang sedia ada.
“Sebarang penyaluran maklumat yang bersifat sensitif hendaklah dilaksanakan melalui saluran yang sah dan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Bagi agensi penguatkuasaan undang-undang negara, JPP memohon agar semua pihak berkepentingan menitikberatkan keutuhan ATM sebagai sebuah pasukan keselamatan negara yang memikul amanah mempertahankan kedaulatan tanah air.
Pendekatan yang seimbang, berprinsip dan berlandaskan undang-undang amat penting bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa menjejaskan kestabilan institusi strategik negara.
ATM juga menghormati kebebasan orang awam untuk menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi.
“Namun demikian, penyebaran maklumat yang tidak sahih dan bersifat spekulatif pasti mengundang kekeliruan dan salah tafsir yang lebih membawa kemudaratan kepada imej ATM.
“Justeru, kepimpinan ATM memberikan sepenuh komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berautoriti demi memastikan kebenaran ditegakkan serta keyakinan rakyat terhadap ATM terus terpelihara,” menurutnya lagi.
Dalam pada itu, JPP memberi jaminan bahawa ATM akan terus berdiri sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini, serta kekal komited melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Malaysia tanpa sebarang kompromi.
BACA JUGA Semua perolehan ATM, PDRM terpalit rasuah akan dibeku sementara