Anwar: Semangat Israk Mikraj tuntut keadilan, tolak stereotaip dan prasangka
Mengambil semangat peristiwa agung dalam perjalanan Israk dan Mikraj, umat Islam diseru untuk mulakan hidup bersama-sama secara rukun dan damai serta menolak prasangka, stereotaip palsu dan momokan musuh untuk menghancurkan keharmonian hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, salah satu peristiwa agung dalam perjalanan Israk dan Mikraj adalah penerimaan langsung perintah solat lima waktu sebagai satu ibadah yang penting dalam kehidupan seorang Muslim.
Katanya, dimensi solat bukan sekadar ibadah rutin biasa, namun sarat dengan makna dan dampak bukan sahaja kepada diri namun kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Beliau merujuk pandangan Syeikh Daud Al Fatani dalam kitab klasik Munyatul Musolli yang membahaskan soal tatacara solat namun turut menyentuh perihal siyasah dan tatakelola yang baik.
Dalam bab “Tatmim al-Fa’idah”, Syeikh Daud menyentuh mengenai ibadah solat namun jauh daripada itu mengaitkan dengan prinsip keadilan.
“Menjadi kewajiban sama ada Muslim atau bukan Muslim berusaha ke arah mencapai matlamat bersama kemanusiaan, agar keadilan dijajarkan pada tempat yang sepatutnya.
“Kita mesti mulakannya dengan hidup bersama-sama secara rukun dan damai serta menolak prasangka.
“Pada masa yang sama mesti tetap tawaduk dan rendah hati, kerana kita mungkin tidak mempunyai jawapan yang tepat.
“Bahkan jika kita mendapat jawapan sekalipun, kita tidak boleh terlalu gopoh dan tergesa-gesa menanggapinya sebagai penyelesaian yang tuntas,” ujarnya.
BACA JUGA Kemenangan untuk netizen, MOF tarik balik SARA, STR dari lelaki mengaku ada 6 rumah sewa