Bersedia bertanding PRU16, Titiwangsa antara kerusi berpotensi AMANAH jika…
Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sama ada ia diadakan tahun ini, tahun hadapan atau selewat-lewatnya pada awal 2028.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, AMANAH bersedia menghadapi sebarang bentuk pertandingan termasuk pertembungan dua, tiga atau empat penjuru, bergantung kepada keputusan dan suasana politik semasa.
“Bagi kami, kami bersedia bertanding di Putrajaya, Labuan, dan di kerusi-kerusi yang bukan merupakan milik Pakatan Harapan (PH) sekiranya kita terpaksa bertanding dalam suasana yang bukan atas perpaduan.
Kalau atas nama PH dan Perpaduan tidak bersama untuk menghadapi PRU16, maka bererti salah satu kerusi yang akan masuk dalam senarai kerusi berpotensi adalah Titiwangsa.
“Kita (PH) di Wilayah Persekutuan ini memiliki 11 kerusi Parlimen, dan kesemuanya dikuasai PH kecuali kerusi Titiwangsa,” kata beliau dalam sidang media hari ini.
Tambah Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, jika Barisan Nasional (BN) berpendirian untuk bertanding secara solo, maka kerusi Parlimen Titiwangsa akan dimasukkan dalam senarai sasaran AMANAH Wilayah Persekutuan.
“Tapi jika ada penjajaran semula, kita bersedia kerana AMANAH Wilayah Persekutuan wujud dan berjalan aktif di semua kawasan,” kata Khalid lagi.
Mengekalkan komitmen
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pernah mencadangkan supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang.
Namun, sehingga kini kepimpinan tertinggi UMNO mengekalkan komitmen terhadap kerjasama kerajaan MADANI demi kestabilan politik dan kebajikan rakyat.
Untuk rekod, Titiwangsa satu-satunya kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang bukan milik PH.
Kerusi Parlimen Titiwangsa kini dikuasai Barisan Nasional (UMNO) dan disandang oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Daripada 10 kerusi Parlimen yang dikuasai PH di Wilayah Persekutuan selepas PRU15, PKR dan DAP masing-masing menguasai lima kerusi.
PKR memiliki kerusi Parlimen Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak.
DAP pula menguasai Kepong, Segambut, Bukit Bintang, Seputeh dan Cheras.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan masing-masing dikuasai Mohd Radzi Md Jidin (PN – PPBM) dan Suhaili Abdul Rahman (Bebas).
BACA JUGA ‘Negara jarang terkejut’, inilah ciri sebenar negara berdaya tahan