Sempena sidang Dewan Rakyat mulai esok, ini penegasan PM Anwar terhadap Ahli Parlimen

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen kerajaan memberi fokus kepada tugas dan tanggungjawab, selain bersikap baik dengan hadir membahas isu di Dewan Rakyat.

Jurucakap Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil, berkata pada dua atau tiga minggu pertama sidang Dewan Rakyat berlangsung, Ahli Parlimen akan membahaskan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Untuk rekod, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan bermula esok dengan titah Agong pada istiadat pembukaan mesyuarat itu menjadi tumpuan utama.

Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan Titah Diraja bagi perasmian kedua-dua dewan, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Inti pati Titah Diraja itu dijangka menyentuh pelbagai perkara penting termasuk soal pembangunan negara, kebajikan rakyat dan perihal ekonomi selaras dengan permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu pelan pembangunan lima tahun negara yang bermula tahun ini hingga 2030.

Menurut Fahmi, Rang Undang-Undang (RUU) yang diumum Perdana Menteri pada 5 Januari lalu akan menjadi keutamaan untuk dibahaskan pada sesi Parlimen kali ini.

“RUU itu bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh dan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara, selain RUU Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dan Ombudsman,” jelasnya.

Fahmi berkata demikian selepas taklimat pra persidangan Dewan Rakyat di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.

Taklimat bermula jam 2.30 petang itu dipengerusikan Anwar yang dilihat keluar meninggalkan Seri Perdana pada jam 4.20 petang dan melambaikan tangan kepada pengamal media di luar pagar.

BACA JUGA URA perlu lindungi penduduk tak setuju pembangunan semula