Isu Dragon Temple Lane: AMANAH pertegas keutamaan penyelesaian manfaat langsung kepada rakyat
Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Parti Amanah Negara (AMANAH) mengambil maklum cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng untuk menukar nama Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane.
Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, sebagai parti yang menjunjung nilai kemajmukan dan keharmonian budaya, AMANAH berpandangan bahawa pemeliharaan warisan budaya perlu dilaksanakan secara inklusif, beretika serta melalui proses tadbir urus yang telus, selari dengan aspirasi rakyat setempat.
Namun begitu, tegasnya, AMANAH berpandangan bahawa sebarang cadangan melibatkan ruang awam dan identiti komuniti wajar didahului oleh libat urus menyeluruh dengan penduduk setempat, disokong oleh kajian sejarah yang sahih serta pertimbangan terhadap implikasi sosial dan pentadbiran.
“Dalam konteks semasa, ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, isu perumahan, pekerjaan dan kesejahteraan sosial, AMANAH menekankan bahawa keutamaan kepimpinan wajar diberikan kepada penyelesaian yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, bukannya polemik simbolik yang berpotensi mengundang salah faham atau ketegangan yang tidak perlu,” katanya menerusi kenyataan.
Jalan Pantai Bersih
Terdahulu, tular mengenai laporan akhbar berbahasa Cina berhubung cadangan Lim Guan Eng yang menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang supaya menamakan semula Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane.
Pemilihan nama itu dikatakan sebagai memenuhi hasrat jawatankuasa pengurusan tokong berkenaan serta menganggapnya sebagai ‘ang pau’ Tahun Baharu Cina kepada penduduk Butterworth.
Memetik laporan akhbar itu, Guan Eng berkata, Ketua Menteri memaklumkan akan mempertimbangkan cadangan itu dan sudah mengarahkan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Pulau Pinang, Zairil Khir Johari untuk mengendalikan perkara terbabit, tetapi kerja-kerja berkaitan masih belum diselesaikan.
Guan Eng Berharap Ketua Menteri dapat menggunakan kuasa yang ada untuk menyampaikan berita baik kepada orang ramai sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.
Mengulas lanjut, Wan Anwar berkata, AMANAH ingin menegaskan bahawa warisan budaya adalah milik bersama rakyat dan tidak wajar dipolitikkan.
Menurutnya, sebarang pemilihan atau penamaan semula perlu berasaskan konsensus komuniti setempat dan keharmonian sosial dan perpaduan nasional mesti menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan awam.
“AMANAH kekal komited untuk mendukung usaha pemeliharaan warisan budaya negara yang dilaksanakan secara adil, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat selari dengan semangat Malaysia Madani,” kata Wan Anwar lagi.
BACA JUGA URA perlu lindungi penduduk tak setuju pembangunan semula