AMANAH WP gariskan enam resolusi strategik perkukuh persediaan hadapi PRU16

FOTO BERITA: Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan (WP) telah merumuskan enam resolusi strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) hasil dua forum dan sesi soal jawab.

Dua forum berkenaan masing-masing bertajuk Persediaan Amanah WP Menghadapi PRU16 serta Memperkasa Amanah WP – Meningkatkan Keahlian & Kekuatan Jentera Parti telah menjadi medan wacana, penelitian dan perbincangan mendalam melibatkan pimpinan serta ahli parti. Hasil perbincangan tersebut kemudiannya ditatarkan dalam bentuk resolusi sebagai panduan gerak kerja parti.

Resolusi pertama menekankan usaha memperkukuh hubungan serta pemerkasaan strategi politik melalui perluasan dan kepelbagaian wacana kompromi dasar antara parti-parti politik. Pendekatan ini dilihat penting bagi membentuk calon secara bersama dalam kerangka sistem demokrasi, di samping memanfaatkan setiap peluang di lapangan untuk memperluas jenama, pengalaman dan kemahiran parti.

Resolusi kedua pula memberi tumpuan kepada pengurusan isu dan mitigasi, khususnya dengan memperluas penerangan berkaitan elemen politik dalam dan luar negara. Langkah ini bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai keperluan membawa negara ke arah masa hadapan yang lebih progresif. Dalam masa sama, kesepakatan antara komponen parti perlu diperkukuh agar polemik dalaman tidak diperbesarkan kepada umum.

Resolusi ketiga menyentuh aspek pemerkasaan struktur dan jentera pilihan raya dengan menekankan keperluan membangunkan kesiapsiagaan awal. Menurut resolusi ini, kekuatan struktur dan jentera pilihan raya merupakan prasyarat utama bagi melobi kerusi untuk ditandingi, selain menggesa penubuhan lebih banyak cawangan yang dilengkapi pengetahuan serta kemahiran pengurusan jentera.

Resolusi keempat menekankan kepentingan mempelbagaikan pendekatan mendekati masyarakat melalui penyertaan aktif dalam persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) serta platform kemasyarakatan lain. Pendekatan secara langsung dan maya termasuk penggunaan media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram dilihat sebagai wahana penting bagi menyebarkan maklumat serta membina keyakinan rakyat

Resolusi kelima pula berkaitan persediaan dana pilihan raya dengan menyeru kepada kepelbagaian sumber sumbangan sama ada berbentuk kewangan, kepakaran mahupun pengetahuan. Ahli parti juga disaran diperkasakan dengan kemahiran keusahawanan bagi membantu kelangsungan dana parti. Selain itu, penggubalan undang-undang pendanaan pilihan raya dilihat penting bagi menyeragamkan kaedah kutipan dana secara lebih telus dan beretika..

Resolusi kelima pula berkaitan persediaan dana pilihan raya dengan menyeru kepada kepelbagaian sumber sumbangan sama ada berbentuk kewangan, kepakaran mahupun pengetahuan. Ahli parti juga disaran diperkasakan dengan kemahiran keusahawanan bagi membantu kelangsungan dana parti. Selain itu, penggubalan undang-undang pendanaan pilihan raya dilihat penting bagi menyeragamkan kaedah kutipan dana secara lebih telus dan beretika.

Dan resolusi keenam memberi penekanan kepada pengukuhan struktur parti di lapangan. Seiring usia AMANAH yang telah melebihi sedekad, jenama parti perlu terus dipertingkat dan diperluas di peringkat nasional melalui penubuhan Unit Komunikasi Strategik yang diterajui oleh individu berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang komunikasi serta penyampaian.
Keseluruhannya, enam resolusi ini mencerminkan komitmen AMANAH WP untuk memperkemas organisasi, memperkukuh jentera serta memperluas sokongan rakyat sebagai persediaan menyeluruh menghadapi PRU16.