AMANAH sambut baik Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, sokong reformasi pendidikan PM

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik pembentangan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 YAB Perdana Menteri, yang disifatkan sebagai satu kejutan dan mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Menurut AMANAH, RPN menunjukkan komitmen jelas kerajaan untuk merombak landskap pendidikan negara demi membina sistem yang lebih inklusif, mampan, responsif kepada situasi semasa, dan berpaksi kepada keperluan masa hadapan.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof, berkata pihaknya mengalu-alukan pendekatan kerajaan yang menetapkan Kemasukan Tahun 1 mulai 2027 dengan memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak seawal usia enam tahun secara sukarela.

Perdana Menteri meluncurkan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menekankan bahawa langkah ini selaras dengan perkembangan kognitif kanak-kanak tanpa memaksa sesiapa yang belum bersedia.

“Ini menunjukkan pendekatan pendidikan yang lebih fleksibel dan responsif kepada keperluan keluarga,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

AMANAH turut memuji ketegasan kerajaan dalam mewajibkan pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan di semua sekolah, termasuk Sekolah Agama Rakyat, sekolah antarabangsa, dan sekolah persendirian, termasuk UEC.

“Langkah ini seiring dengan Titah YDPA bagi memperkukuh jati diri nasional, perpaduan dan kefahaman sejarah negara,” katanya.

Penilaian berpusat

Selain itu, AMANAH menghargai penekanan kerajaan terhadap penilaian berpusat bagi murid Tahun 4 (empat subjek teras mulai 2026) dan murid Tingkatan 3 (lima subjek asas mulai 2027).

Azli berkata, kaedah tersebut dapat meningkatkan mutu pendidikan, mengesan kelemahan awal, dan memastikan standard pembelajaran lebih jelas.

Dalam masa sama, AMANAH, katanya turut menyokong langkah kerajaan memperkenalkan pelajaran TVET di peringkat sekolah menengah, terutamanya dalam bidang teknologi dan digital, sebagai persediaan kepada keperluan semasa.

Bagaimanapun, AMANAH mencadangkan agar pendedahan TVET di peringkat sekolah rendah dikaji semula untuk memastikan keberkesanannya tanpa menjejaskan aspek pembelajaran asas.

Dalam aspek pendidikan tinggi, AMANAH menghargai jaminan kerajaan bahawa pelajar cemerlang akan memperoleh tempat di IPTA berdasarkan kemampuan universiti dan merit, serta usaha kerajaan untuk menyediakan pendidikan percuma kepada 3,000 pelajar OKU di IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Tambahan pula, kerajaan meningkatkan bilangan pelajar daripada keluarga miskin tegar yang mendapat pendidikan percuma atau PTPTN dari 5,800 kepada 10,000.

AMANAH juga menyokong keputusan kerajaan meletakkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang dianggap dapat memastikan transisi lebih lancar ke program Ijazah Sarjana Muda dan memberi semangat moral kepada pelajar memilih laluan ini.

“Ia bukan sahaja memastikan transisi lebih lancar kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda, malah memberi suntikan semangat dan moral kepada pelajar memilih laluan ini,” ujarnya.

Selain itu, tambah Azli, AMANAH mendukung penuh reformasi pendidikan melalui RPN 2026–2035, dengan matlamat meningkatkan kualiti pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan, membentuk perpaduan rakyat, dan menyumbang kepada pembangunan negara.

BACA JUGA Pakar luah rasa lega, 13 pembaharuan besar sistem pendidikan mula dilaksana