Dari Amanat Hadi ke politik kuasa: Akidah diperalat, umat menanggung beban

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mahfuz Omar, menggesa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memberikan penjelasan jujur berhubung sejarah penggunaan akidah dalam politik, selepas kenyataannya bahawa pertembungan Pas–UMNO bukan isu akidah, tetapi isu pendekatan.

Menurut Mahfuz, pengakuan Hadi itu bukan sekadar perubahan nada politik sekaligus mengakui bahawa akidah pernah diperalatkan dalam konflik politik, dan kini diturunkan nilainya apabila keperluan kuasa berubah.

Beliau menegaskan bahawa sejak awal 1980-an, melalui Amanat Hadi dan wacana-wacana susulan, Pas telah membina kerangka politik yang mengaitkan perbezaan parti dengan akidah, iman, dan wala’.

“Amanat tersebut sama ada disandarkan kepada konteks atau tafsiran tertentu ia telah digunakan secara meluas untuk membezakan “politik Islam” dan “politik bukan Islam”, dan kesannya meresap ke akar umbi selama puluhan tahun,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Akibatnya, kata Mahfuz, politik ditanggalkan daripada perbahasan dasar dan dinaikkan menjadi soal iman, yang menyebabkan masyarakat berpecah, keluarga berantakan, dan ketegangan wujud di masjid serta kampung.

Kerosakan sosial

Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, perubahan pendirian Pas hari ini tanpa sebarang pengakuan kesilapan atau usaha memulihkan kerosakan sosial merupakan satu bentuk penulisan semula sejarah secara senyap.

Tegas beliau, Islam tidak membenarkan akidah dijadikan alat kempen, mata wang rundingan kuasa, atau perisai untuk menutup percanggahan prinsip.

“Islam membenarkan perubahan strategi, tetapi tidak membenarkan manipulasi kefahaman umat. Istiqamah bukan bermaksud kaku, tetapi jujur terhadap kesan kata-kata dan keputusan.

“Isu sebenar hari ini bukan Pas mahu bekerjasama dengan UMNO atau tidak.

“Isu sebenar ialah liabiliti moral kepimpinan Pas terhadap perpecahan umat yang terhasil apabila agama dipolitikkan, kemudian dinyahakidahkan tanpa tanggungjawab,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata, umat Islam berhak menuntut penjelasan jujur tentang kesilapan lampau serta pembetulan terbuka terhadap naratif yang mengelirukan.

“Komitmen jelas bahawa akidah tidak lagi akan dijadikan alat politik.

“Selagi perkara ini tidak dilakukan, kenyataan bahawa Pas–UMNO “bukan isu akidah” hanyalah pengakuan lewat terhadap satu kegagalan besar iaitu kegagalan membezakan antara agama sebagai amanah dan politik sebagai kuasa,” katanya.

Tambah Mahfuz lagi, akidah tidak pernah berubah, yang berubah hanyalah keperluan kuasa, dan di situlah krisis sebenar politik Islam versi Pas hari ini.

BACA JUGA Tergamak usir 14 keluarga Orang Asli, Terengganu mahu bina Kolej Al-Quran