Masuk Tahun Satu seawal 6 tahun? Ini syarat yang perlu lulus

Kanak-kanak seawal umur enam tahun berpeluang memasuki Tahun Satu mulai sesi persekolahan 2027, tertakluk kepada kelayakan yang ditentukan melalui ujian saringan diagnostik khas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata hanya murid yang memenuhi kriteria ditetapkan dan berjaya melepasi penilaian tersebut akan dipilih untuk kemasukan tersebut.

Sehubungan itu, jelasnya, ibu bapa perlu mendaftar anak mereka untuk menduduki ujian saringan itu terlebih dahulu yang akan diumumkan pelaksanaannya nanti.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa pelaksanaan kemasukan anak ke Tahun Satu pada usia enam tahun, bukan diwajibkan kepada semua ibu bapa.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita pada Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Kedah, di Alor Setar hari ini.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Fadhlina berkata, struktur persekolahan bagi anak-anak yang memulakan persekolahan Tahun 1 pada umur enam tahun juga tidak berubah dan tetap selama enam tahun.

“Sepanjang tempoh ini perkembangan murid akan dipantau pihak sekolah dan sokongan pembelajaran bersesuaian akan diberikan bagi membantu murid menyesuaikan diri,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Nibong Tebal itu lagi, KPM juga bersedia dengan perubahan tersebut termasuk sedang menambah kelas prasekolah di seluruh negara.

“Perancangan turut dilakukan untuk menyediakan bilik darjah tambahan dan prasarana lain secara bersasar. Keperluan tambahan guru juga sedang ditangani secara proaktif,” katanya.

BACA JUGA Tergamak usir 14 keluarga Orang Asli, Terengganu mahu bina Kolej Al-Quran