KPDN garis hala tuju 2026 berteras K.I.T.A., fokus penguatkuasaan dan perlindungan pengguna

FOTO BERITA: Majlis Perutusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tahun 2026 berlangsung hari ini di ibu pejabat KPDN, melibatkan kehadiran Pengurusan Tertinggi kementerian, pegawai serta kakitangan KPDN dan agensi berkaitan dari peringkat ibu pejabat, negeri dan cawangan di seluruh negara. (Gambar: UKK KPDN)

Majlis tahunan itu bukan sahaja menjadi wadah penyampaian perutusan kepimpinan, malah berperanan sebagai medan refleksi terhadap pelaksanaan inisiatif dan ikhtiar KPDN sepanjang tahun 2025, di samping menetapkan keutamaan strategik kementerian dalam mendepani cabaran tahun 2026.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali dalam perutusannya menegaskan komitmen KPDN untuk terus memaknai aspirasi rakyat melalui tema “K.P.D.N. K.I.T.A.: Memaknai Aspirasi Rakyat”. Menurut beliau, kementerian akan meneruskan kesinambungan pelaksanaan kerangka besar Hala Tuju yang telah digerakkan sejak 2024, berteraskan empat fokus utama iaitu Ketangkasan Penguatkuasaan, Pemacu Ekonomi Domestik, Daya Upaya dan Advokasi Kepenggunaan serta NACCOL sebagai Pendekatan Seluruh Negara (K.P.D.N).

“Hala tuju ini digerakkan melalui empat pembolehubah utama iaitu Keterangkuman Kerajaan dan Kecemerlangan Organisasi, Iltizam Industri, Tekad Tatakelola serta Aspirasi dan Partisipasi Awam, yang dirangkumkan sebagai K.I.T.A,” katanya.

Beliau menjelaskan, bagi tahun 2026, gerak kerja hala tuju KPDN dianjakkan dengan penetapan tiga indikator utama bagi memastikan aspirasi rakyat benar-benar dimaknai, iaitu penterjemahan blueprints seperti dasar, pelan strategik dan belanjawan kepada footprints berbentuk pelaksanaan inisiatif, program serta penguatkuasaan, seterusnya menghasilkan imprints berupa pencapaian petunjuk prestasi, kestabilan harga dan penyertaan rakyat.

“Matlamat kita adalah memastikan segala perancangan dan dasar yang didengar oleh rakyat melalui pelbagai blueprint diterjemahkan kepada tindakan yang boleh dilihat, dan akhirnya memberikan manfaat nyata yang boleh dirasai rakyat,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, walaupun tahun 2026 merupakan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), ia juga menandakan tahun keempat pentadbiran Kerajaan MADANI. Sehubungan itu, fokus kementerian perlu melangkaui penggubalan dasar semata-mata kepada pelaksanaan yang berkesan agar impaknya benar-benar dirasai oleh rakyat.

Dalam perutusannya, Datuk Armizan turut menggariskan reformasi undang-undang dan institusi sebagai antara pelan tindakan utama KPDN bagi tahun 2026. Beliau memaklumkan bahawa pada tahun 2025, KPDN telah melaksanakan pindaan terhadap Akta Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang memperkukuh perlindungan pengguna melalui kontrak sewa beli yang lebih adil dan telus, di samping menyeimbangkan kepentingan pengguna dan industri.

Bagi tahun 2026, KPDN menyasarkan lima kluster reformasi undang-undang dan institusi utama di bawah kawal selia kementerian, merangkumi pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 bagi memperkasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC dalam membanteras kartel dan monopoli; pindaan Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 untuk melindungi pengguna daripada penipuan; penggubalan atau penambahbaikan undang-undang berkaitan e-dagang di bawah Akta Perdagangan Elektronik 2006; pengukuhan peruntukan Lemon Law dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999; serta penggubalan undang-undang berkaitan Harta Alih Kepentingan Bercagar bagi memudahkan pembiayaan perniagaan.

Menurut beliau, pindaan dan pengenalan undang-undang tersebut merupakan kesinambungan hasil kajian sejak 2024 yang mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk industri, agensi kerajaan, persatuan pengguna, NGO dan ahli akademik.