Jualan Agro MADANI cara kerajaan kurangkan beban kos sara hidup rakyat

Meskipun Kerajaan Perpaduan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan beban rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup, masih ada suara khususnya pembangkang yang mainkan bahawa isu tersebut tidak diberikan perhatian.

Malah mereka turut mengkritik bahawa harga bahan mentah terus meningkat meskipun diperkenalkan juadah murah melalui Menu Rahmah.

Sepatutnya mereka membuka mata seluas-luasnya bahawa kerajaan tidak berdiam diri sebaliknya bertungkus-lumus memperkenalkan program bagi membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah teraju Datuk Seri Mohamad Sabu atau “Abang Mat” berkata sepanjang bulan Ramadan menjelang Syawal, pihaknya menyediakan program Jualan Agro MADANI dengan menawarkan jualan barangan asas pada kadar lebih murah.

Antaranya daging segar tempatan dijual pada harga RM35 sekilogram berbanding harga pasaran mencecah lebih RM40 sekilogram selain ayam (2kg) berharga RM10.

“Pihak kementerian menyasarkan penjimatan 10 hingga 30 peratus lebih rendah harga barangan yang dijual di Jualan Agro MADANI berbanding harga pasaran.

“Saya ingin menyeru kepada orang ramai, turun beramai-ramai ke Jualan Agro MADANI untuk mendapatkan barangan keperluan harian sempena Ramadan ini pada harga yang lebih menjimatkan,” katanya.

“Selain di Jualan Agro MADANI juga ada menyediakan produk-produk seperti kuih raya dan kerepek untuk sambutan Syawal nanti.”

Orang ramai terutama suri rumah beratur bagi membeli ayam segar yang dijual pada harga lebih murah ketika Jualan Agro MADANI di Johan Setia, Klang pada 18 April 2023. Foto FB Mohamad Sabu

Jualan Agro MADANI adalah projek rintis hasil inisiatif dari pihak kementerian menerusi FAMA dengan berkonsepkan jualan pada harga berpatutan sekali gus ia dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melibatkan sebanyak 113 outlet pemasaran FAMA di seluruh negara.

Sebagai contoh, semalam Abang Mat turun ke tapak Jualan Agro MADANI di Kampung Johan Setia, Klang yang menyaksikan orang ramai berpusu-pusu membeli barangan asas sebagai persediaan menyambut hari raya sama ada Jumaat atau Sabtu ini.

“Alhamdulillah sambutan yang cukup menggalakkan saya lihat Jualan Agro MADANI di Kampung Johan Setia, Klang ini. Pelbagai produk segar ada dijual termasuk barang kawalan pada harga yang cukup murah.

“Saya nampak sambutan daripada rakyat begitu menggalakkan terutama sekali ayam yang dijual di sini cukup murah. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang membekalkan ayam pada Jualan Agro Madani kali ini,” ujarnya Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Ini adalah salah satu cara pihak kementerian mengurangkan bebanan golongan B40 dan M40 di sepanjang Ramadan dan sebagai persiapan awal menyambut Syawal, ujarnya.

BACA JUGA: Jabatan, agensi KPKM pantau cuaca panas jejas sektor pertanian

Â