Hanya presiden komponen Perikatan Nasional wajar menjadi pengerusi PN – Mahiaddin

Presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin berpendirian bahawa hanya presiden parti komponen Perikatan Nasional dipilih sebagai pengerusi blok pembangkang, Perikatan Nasional.

Mahiaddin telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi pada 1 Jan.

Ini bermakna pilihan pengerusi seterusnya terdiri daripada presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan presiden Malaysian Indian People’s Party P Punithan.

“Jika saya sudah letak jawatan, salah seorang daripada tiga yang lain perlu menjadi pengerusi PN. Tetapi, jika tiga yang lain tidak boleh menjadi pengerusi, bolehkah anda beri saya satu penyelesaian?

“Jadi, kita telah sampai ke tahap ini sekarang. Kita perlu melihat keseluruhan keadaan akhirnya. Institusi PN perlu menjadi lebih mampan pada masa depan,” kata Mahiaddin dalam perjumpaan beliau bersama wakil media Tamil malam tadi di Kuala Lumpur.

Acara tersebut bagaimanapun dihadiri oleh pengamal media dari kaum India.

Persoalan berkenaan pemimpin baharu yang akan menerajui blok pembangkang hangat dibincangkan.

Pas telah melontarkan beberapa nama pimpinannya untuk mengambil alih kepimpinan PN.

Antaranya adalah timbalan presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan naib pengerusinya Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu dan Ahli Parlimen Kemaman.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa hubungannya dengan timbalan presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak rapat.

“Ia boleh jadi lebih baik,” kata Mahiaddin.

Kedua-dua mereka dilihat sebagai terlibat dalam pergelutan kuasa di dalam Bersatu hingga menyebabkan sebilangan ahli parlimen yang menyokong Hamzah dipecat daripada parti.

Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) dan Datuk Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) merupakan di antara pimpinan yang telah dipecat.

BACA JUGA: Bersatu terima Mahiaddin letak jawatan Pengerusi PN