41 pegawai imegresen dikenakan tatatertib, 20 dibuang kerja terlibat pasport terbang

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengenakan tindakan tatatertib terhadap 41 orang pegawainya yang didapati terlibat dalam kegiatan pasport terbang dalam tempoh empat tahun dari 2022 hingga 2025.

Dalam tempoh itu juga, seramai 20 orang pegawai telah dijatuhkan hukuman buang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan tegas diambil hasil siasatan dalaman yang telus, selain menunjukkan komitmen berterusan Jabatan dalam menangani isu ini.

Beliau mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada 19 Januari lalu berhubung laporan siasatan aktiviti pasport terbang di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Kata beliau, JIM telah dan sedang mengambil tindakan susulan selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan perkhidmatan awam dan mekanisme tatatertib yang berkuat kuasa.

“Berhubung kes yang dilaporkan, JIM mengesahkan bahawa tindakan tatatertib telah dilaksanakan terhadap pegawai terlibat selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. 

“Langkah ini mencerminkan pendirian tegas Jabatan bahawa sebarang salah laku, khususnya yang melibatkan integriti dan kepercayaan awam, tidak akan dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Zakaria menegaskan, setiap kes yang dirujuk oleh EAIC akan diteliti secara menyeluruh dan ditangani dengan serius tanpa sebarang kompromi. 

Bagi tahun 2025, sebanyak 61 kes telah dirujuk oleh EAIC dan kesemua kes terlibat dibawa ke Mesyuarat Jawatakuasa Aduan dan diambil tindakan selaras dengan proses serta peruntukan tatatertib yang berkuat kuasa. 

Pendekatan ini kata beliau, mencerminkan komitmen berterusan JIM terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik.

“JIM akan terus memperkukuh pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), meningkatkan pemantauan dalaman serta melaksanakan langkah penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan perkhidmatan imigresen dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selari dengan peraturan yang ditetapkan, demi memelihara kepercayaan rakyat dan kepentingan negara,” ujarnya lagi

BACA JUGA Pertemuan empat mata PM dan Hishammuddin apa maknanya?