‘Mentadbir Bersama Rakyat’ prinsip pentadbiran Hannah Yeoh di Wilayah Persekutuan

FOTO BERITA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Hannah Yeoh, menegaskan komitmennya untuk terus mengamalkan pendekatan libat urus yang bermakna bersama komuniti setempat dalam usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk Kuala Lumpur. (Gambar: JWP)

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Save Kuala Lumpur (Save KL) dan Persatuan Kebajikan Kelestarian Komuniti Kuala Lumpur (KLRA+SD) yang mewakili lebih 80 persatuan penduduk dari seluruh ibu negara.

Menurut Hannah Yeoh, pertemuan tersebut membuka ruang kepada wakil-wakil persatuan penduduk untuk berkongsi pandangan serta maklum balas berhubung pelbagai isu bandar, khususnya yang melibatkan kesejahteraan dan kelestarian kehidupan warga Kuala Lumpur. “Saya komited untuk meneruskan pendekatan libat urus yang berterusan melalui perbincangan, sesi konsultasi dan kerjasama strategik bersama komuniti setempat serta pihak berkepentingan,” katanya.

Antara fokus utama yang dibincangkan ialah isu mitigasi banjir, termasuk kepentingan perlindungan dan pemeliharaan kolam takungan yang memainkan peranan kritikal dalam pengurusan banjir di Kuala Lumpur. Beliau turut berkongsi keutamaan kementerian dalam memperkukuhkan langkah-langkah pencegahan banjir serta memastikan pelaksanaan amalan tadbir urus yang baik. Dalam pada itu, Hannah Yeoh turut menjemput para profesional dan pakar dalam kalangan persatuan penduduk untuk menyumbangkan kepakaran dan pandangan mereka bagi menyokong perancangan serta pelaksanaan dasar yang lebih berkesan dan berimpak tinggi.

“Prinsip pentadbiran saya adalah untuk mentadbir bersama rakyat. Pandangan dan maklum balas yang dikemukakan oleh persatuan penduduk merupakan input penting dalam membentuk keputusan serta hala tuju tadbir urus bandar,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa semua maklum balas yang diterima akan diteliti secara menyeluruh bagi memastikan setiap tindakan yang diambil benar-benar memberi manfaat kepada penduduk, selain menjadi panduan dalam menetapkan keutamaan tadbir urus bandar pada masa hadapan.

Pendekatan tersebut, katanya, mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membangunkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar yang mampan dengan penekanan terhadap kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.