Bekas Panglima Tentera Darat mengaku tak bersalah terima rasuah RM2.12 juta
Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.12 juta.
Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa menerima hasil aktiviti haram iaitu wang masing-masing RM969,000; RM474,850; RM488,550; dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di bank berbeza sekitar ibu negara pada waktu berlainan.
Dia adalah PTD pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Subsekyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Muhammad Hafizuddeain diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin (setiap seorang RM125,000) dan menetapkan pada 30 Mac ini bagi tarikh sebutan kes.
Hakim turut mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan iaitu tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali sebulan dan pasportnya diserah simpan oleh mahkamah sehingga kes selesai.