UMNO bangkit dalam realiti baharu atau tenggelam dalam nostalgia?
Oleh Dr. SHAHNOR BASRI
UMNO bukan parti picisan. Ia bukan ditubuhkan semalam. Parti inilah yang memimpin bangsa Melayu keluar daripada penjajahan, membina negara berdaulat dan mengasaskan sistem pentadbiran yang menjadi tunjang Malaysia hingga hari ini.
Hakikat ini tidak boleh dipadam dan tidak boleh diperkecil. Namun, sejarah yang agung tidak bermakna apa-apa jika UMNO gagal membaca realiti semasa dan masa depan.
Menjelang Perhimpunan Agung UMNO, satu soalan besar wajib dijawab dengan jujur: Adakah UMNO mahu bangkit sebagai parti negara yang relevan, atau sekadar terus hidup sebagai bayang-bayang kepada kegemilangan silamnya sendiri?
UMNO hari ini berada dalam Kerajaan Perpaduan — satu hakikat politik yang tidak boleh diputar belit.

Ia bukan pilihan mudah, tetapi ia adalah pilihan paling bertanggungjawab demi kestabilan negara selepas PRU15.
Sebahagian mereka yang masih bermimpi untuk kembali berkuasa secara solo, seolah-olah landskap politik tidak berubah, sebenarnya sedang menipu diri sendiri dan memperdaya akar umbi.
Malaysia hari ini bukan lagi Malaysia tahun 1980-an atau 1990-an. Dunia telah memasuki era maklumat terbuka, kecerdasan buatan (AI) dan generasi pengundi yang berfikir, menilai dan menghukum berdasarkan fakta dan prestasi.
Politik jeritan, sentimen murahan dan nostalgia kosong tidak lagi laku. Rakyat mahu penyelesaian, bukan sandiwara.
Kitaran penolakan
UMNO tidak kalah bukan kerana rakyat lupa jasa. UMNO tewas kerana rakyat hilang kepercayaan.
Dan kepercayaan itu runtuh bukan kerana musuh, tetapi kerana kegagalan dalaman — budaya angkuh, penafian kesalahan, dan keengganan melakukan pembaharuan tulen.
Selagi UMNO enggan mengakui hakikat ini, selagi itulah parti akan terus terperangkap dalam kitaran penolakan.
Kerajaan Perpaduan seharusnya dilihat sebagai medan ujian, bukan beban. Inilah peluang UMNO membuktikan bahawa parti ini masih mampu menyumbang idea besar, dasar berani dan kepimpinan matang.

UMNO diuji hari ini bukan melalui jumlah kerusi, tetapi melalui kualiti sumbangan kepada pentadbiran negara.
UMNO mesti berhenti bermain politik ketakutan. Menjual naratif bahawa bangsa sentiasa terancam, agama sentiasa digugat dan kuasa Melayu bakal lenyap hanya akan mendedahkan kelemahan pemikiran dan ketandusan idea.
Rakyat, khususnya generasi muda Melayu, tidak lagi termakan retorik kosong. Mereka mahu kepimpinan yang cerdas, berfakta dan berani memimpin perubahan.
Ahli Parlimen UMNO pula tidak boleh lagi berpolitik seperti berada dalam gelembung lama. Setiap kenyataan hari ini dirakam, disebar dan diadili dalam masa nyata.

Dunia digital dan kecerdasan akal tidak mengenal belas kasihan politik. Yang tinggal hanyalah rekod sama ada UMNO membantu rakyat atau sekadar bermain persepsi.
Jika UMNO benar-benar mahu kembali sebagai parti utama negara, ia mesti berani menutup buku lama yang sudah tidak relevan. Kembali dominan bukan bermakna kembali angkuh. Kuat bukan bermakna menindas.
Kepimpinan baharu UMNO mesti berpaksikan kebijaksanaan, kecekapan dan keberanian moral — bukan politik emosi yang memecah-belahkan.
UMNO pernah menjadi tulang belakang negara kerana ia memahami denyut nadi rakyat pada zamannya.
Persoalan getir hari ini: Adakah UMNO masih mahu memahami rakyat hari ini, atau hanya mahu rakyat memahami UMNO versi masa lalu?
Perhimpunan Agung UMNO kali ini bukan ruang berpidato kosong atau pertandingan sorakan. Ia adalah medan penentuan hidup mati politik.
Sama ada UMNO memilih untuk bangkit dalam realiti baharu, atau terus tenggelam dalam nostalgia yang tidak akan kembali.
Sejarah tidak menyelamatkan parti. Keberanian untuk berubah — itulah yang akan menentukan sama ada UMNO terus menjadi parti negara, atau sekadar catatan dalam buku sejarah.
*Dr. SHAHNOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan.
BACA JUGA Tipu pelabur lebih RM300 juta, SPRM tahan Tan Sri