Kenaikan gaji baharu tertinggi penjawat awam dalam tempoh 12 tahun – PM

Perdana Menteri hari ini meraikan komitmen penjawat awam dengan kenaikan gaji baharu tertinggi dalam tempoh 12 tahun yang terbesar dalam sejarah bagi kakitangan kerajaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan itu bukan sekadar angka, tetapi pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen penjawat awam demi pembangunan negara.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi dorongan untuk terus berkhidmat dengan integriti, dedikasi, dan semangat kebangsaan.

“Bersama-sama kita memacu Malaysia ke tahap kecemerlangan seterusnya,” kata Perdana Menteri lagi menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau.

Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan tertinggi ICU Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

Pelaksanaan kenaikan gaji baharu Fasa Kedua di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula hari ini, dengan kadar kenaikan dikira berdasarkan gaji akhir pada 31 Disember 2025.

Walaupun pelarasan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, pembayaran dibuat hari ini iaitu tarikh pembayaran gaji bagi bulan berkenaan.

Pelarasan gaji Fasa Kedua merupakan kesinambungan kenaikan gaji di bawah SSPA yang diumumkan pada 2024.

Ia melibatkan kadar keseluruhan 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P), serta tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Di bawah Fasa Kedua, Kumpulan P&P menerima tambahan kenaikan sebanyak tujuh peratus, manakala KPT menerima pelarasan sebanyak tiga peratus.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula Disember 2024, antara yang tertinggi dalam sejarah negara, sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan perkhidmatan awam Kerajaan MADANI.

BACA JUGA Tipu pelabur lebih RM300 juta, SPRM tahan Tan Sri