Misi kemanusiaan rentas sempadan: Keluarga rakam penghargaan kepada semua pihak bantu rawatan Hazim di Krabi

FOTO BERITA: Keluarga Hazim dari Seberang Jaya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelbagai pihak di Malaysia dan Thailand yang membantu dalam urusan rawatan serta misi membawa pulang seorang mangsa kemalangan jalan raya, Hazim, dari Krabi, Thailand ke tanah air. (Gambar: Ehsan Nazir)

Hazim terlibat dalam kemalangan jalan raya di Krabi pada 31 Disember 2025, menyebabkan beliau perlu menerima rawatan kecemasan di Hospital Krabi. Keluarga mangsa yang menerima berita tersebut segera mengatur perjalanan ke Thailand bagi menguruskan keadaan Hazim.

Pada 3 Januari lalu, bantuan awal diperoleh apabila Abang Nazir bersama pasukan Sentuhan Rakyat Madani P044 membantu mendapatkan tiket penerbangan, manakala perjalanan ke Lapangan Terbang Pulau Pinang dibantu oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatang Pauh. Setibanya di sana, waris Hazim turut dibantu oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Haji Zainal Abidin (Paknon) serta Penyelaras KADUN Seberang Jaya, Saudara Fayyadh.

Waris tiba di Krabi pada 4 Januari dan terus ke Hospital Krabi bagi melihat keadaan Hazim. Di sana, perbincangan berterusan dilakukan bersama Abang Nazir yang turut menghubungkan waris dengan penduduk tempatan serta pegawai Kerajaan Thailand bagi memudahkan urusan.

Pada 6 Januari, Abang Nazir bersama Saudara Sufi tiba di Krabi dengan menaiki kenderaan darat. Kehadiran Ustaz Imron, mudir sebuah madrasah di Krabi, yang dihubungi oleh Abang Nazir, menjadi titik penting dalam melancarkan komunikasi dengan pihak hospital berikutan kekangan bahasa.

Pihak hospital mencadangkan pembedahan segera bagi menstabilkan keadaan Hazim sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia. Pada 8 Januari, Hazim selamat menjalani pembedahan dengan bantuan perantara komunikasi seperti Saudara Yahaya, Ustaz Imron dan Saudara Sharif.

Dalam masa yang sama, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya turut dihubungi bagi mendapatkan panduan bantuan. YB Izhar telah menghubungkan keluarga dengan One Hope Charity yang kemudiannya membantu menampung kos rawatan dan pembedahan Hazim, dengan jumlah bil mencecah sekitar RM80,000. Sebahagian bayaran awal pula ditanggung melalui sumbangan orang ramai.

Kumpulan tersebut turut ke Balai Polis Krabi untuk menguruskan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. Dengan bantuan Saudara Yahaya sebagai penterjemah, pihak polis membenarkan kenderaan dibawa pulang keesokan hari.

Pada 21 Januari, rombongan ambulans yang membawa Hazim menerima pengiring Polis Pelancong Thailand sehingga ke sempadan Malaysia selepas makluman daripada Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla. Waris dan Abang Nazir menemani Hazim di dalam ambulans, manakala rakan-rakan lain memandu kenderaan 4×4 membawa motosikal pulang ke Malaysia.

Setibanya di sempadan Bukit Kayu Hitam pada jam 9.15 malam, Haji Zainal bersama pasukan Pusat Khidmat Puan Nurul Izzah membawa ahli keluarga Hazim berkumpul di sempadan. Proses pemindahan dipermudahkan dengan bantuan Dr. Zainal, pegawai perubatan di sempadan, sebelum ambulans Mutiara Medic meneruskan perjalanan ke Hospital Seberang Jaya.

Urusan di sempadan dipermudahkan hasil kerjasama Kerajaan Thailand, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, serta penyelarasan oleh Setiausaha Politik Menteri Luar Negeri. Rombongan turut menerima iringan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaik memasuki negara.

Hazim tiba di Hospital Seberang Jaya pada jam 11.30 malam dan terus ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.

Keluarga Hazim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Kerajaan Thailand, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Polis Thailand, Kementerian Pelancongan, Belia dan Sukan Thailand, Puan Nurul Izzah dan pasukannya, One Hope Charity, AMK Permatang Pauh, Sentuhan Rakyat Madani P044 serta semua penyumbang yang membantu sepanjang tempoh mencabar ini.

Keluarga turut memohon maaf sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak disebut, sambil menegaskan bahawa setiap bantuan yang diberikan amat dihargai dan didoakan agar segala kebaikan dibalas dengan ganjaran yang setimpal.