Bekas Panglima ATM didakwa hari ini, isu TKAT jadi tumpuan
Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 9 pagi ini.
Pendakwaan itu membabitkan tuduhan salah guna kedudukan, pecah amanah dan menerima benda berharga.
Beliau akan berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 susulan siasatan berkaitan salah guna kuasa yang membabitkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
Selain itu, Mohd Nizam turut didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu membabitkan penjawat awam yang menerima atau mendapatkan benda berharga tanpa balasan.
Semalam, bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri ketiganya, Salwani Anuar @ Kamaruddin didakwa dengan empat pertuduhan pengubahan wang haram.
Hafizuddeain turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.
Sementara itu, Salwani akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu, 26 Januari depan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini turut mengesahkan, dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir.
Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.
BACA JUGA ‘Yeye’: Bekas kapten tempelak MP PN