Skandal Raya ATM: Kain pelikat, batik & tuala antara ‘suapan’ bekas panglima
Panas! Tan Sri Mohd Nizam Jaffar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan dan menerima wang berjumlah RM752,482.
Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) berusia 60 tahun itu juga didakwa melakukan pecah amanah membabitkan dana sebanyak RM3 juta.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua empat tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Bagi dua pertuduhan menggunakan kedudukan, Mohd Nizam didakwa melakukan kesalahan itu sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
Pertuduhan pertama
Bagi pertuduhan pertama, Nizam didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu wang berjumlah RM267,481.90 bagi dirinya sendiri.
Suapan itu dikaitkan dengan pelantikan syarikat Sinar Bakti Global untuk menjalankan kerja ‘Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM468,000.
Ia juga melibatkan pelantikan syarikat Sinar Raudhah Global untuk menjalankan kerja ‘Pembekalan Kain Batik Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM52,000.
Selain itu, syarikat Zahra Jaya Global dilantik untuk kerja ‘Pembekalan Multifunctional Folding Pliers Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025’ bernilai RM750,000 kepada TKAT, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.
Pertuduhan kedua
Bagi tuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA ATM yang mempengerusikan TKAT telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan wang berjumlah RM285,000 bagi dirinya.
Suapan itu dikaitkan dengan pelantikan QMZ Resources untuk menjalankan kerja “Pembekalan Tuala Mandi Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM600,000.
Dia juga didakwa melantik Helmee Resources untuk menjalankan kerja “Pembekalan Beg Galas Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025” bernilai RM1,725,000 kepada TKAT, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.
Kedua-dua kesalahan menggunakan kedudukan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah pada 24 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan
Jika disabitkan kesalahan, Mohd Nizam boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga
Sementara itu, bagi tuduhan ketiga, Mohd Nizam didakwa sebagai AKSPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT, telah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM3 juta milik TKAT.
Ia dengan menyalahgunakan wang itu bagi membuat pelaburan tambahan di dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama, pada 4 Oktober 2024, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan [Akta 574], membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan keempat
Bagi tuduhan keempat pula, Mohd Nizam didakwa sebagai PAT ATM telah menerima wang berjumlah RM200,000 untuk dirinya tanpa balasan daripada Pengarah Syarikat Aspen Red Sdn Bhd, Wan Shafie Abdul Rashid.
Tertuduh didakwa mengetahui bahawa wang itu mungkin ada kena-mengena dengan urusan yang akan dijalankannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, pada Mac 2025, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib manakala Mohd Nizam diwakili peguam Abdul Aziz Hamzah dan Surya Putra Taulan.
Hakim Rosli kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan wang jaminan sebanyak RM180,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 31 Mac ini.
Pertuduhan Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah tak boleh dijamin
Terdahulu, Ahmad Akram memberitahu mahkamah, tiga tuduhan yang dikenakan terhadap Mohd Nizam termasuk dalam kategori kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Oleh itu, undang-undang terpakai adalah mengikut Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah yang memperuntukkan bahawa tertuduh bagi kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin melainkan melalui budi bicara oleh mahkamah.