Mahiaddin kekal sebagai pengerusi Perikatan Nasional?
Peluang Tan Sri Mahiaddin Yassin mengekalkan kedudukan sebagai pengerusi Perikatan Nasional cerah memandangkan Pas terus bergelut dalam mencapai persetujuan mengenai calon yang sepatutnya menerajui PN.
Utusan Malaysia melaporkan Pas dalam kebuntuan mengenai calonnya untuk jawatan pengerusi PN meskipun berhasrat mengambil alih jawatan tersebut.
Mahiaddin telah meletakkan jawatan pengerusi PN pada 1 Jan.
Kelewatan mengemukakan calon telah memberi persepsi negatif terhadap Pas, lapor Utusan Malaysia yang memetik sumber Pas.
“Sebelum ini, kita bersungguh-sungguh mahu mengetuai PN dan Muhyiddin sudah pun meletak jawatan. Apabila orang (Bersatu) sudah serah, kita (PAS) pula masih lambat.
“Akhir sekali, kita jangka Muhyiddin yang kekal mengetuai PN. PAS gagal bertindak cepat dalam isu ini dan ia sangat mengecewakan,” kata sumber itu.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menuntut jawatan tersebut untuk Pas tetapi menolaknya untuk diri sendiri atas factor kesihatan.
Dua nama yang disebut-sebut sebagai calon ialah timbalan presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan naibnya Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Komponen PN – Gerakan dan MIPP tidak cenderung menyokong Pas mengetuai PN. Keadaan ini akan lebih diburukkan sekiranya MIC menyertai PN.
“Sebab itu, bila kita mahu mengetuai PN kena bersungguh-sungguh dan bertindak bijak. Jika tidak, Bersatu juga yang akan kekal mengetuai PN meskipun sebelum ini, PAS bersungguh-sungguh melaungkan kesediaan menerajui PN,” kata sumber.
Mahiaddin telah menyatakan pendirian Bersatu untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada presiden komponen PN.
BACA JUGA: Hanya presiden komponen Perikatan Nasional wajar menjadi pengerusi PN – Mahiaddin