Rumah Terbuka Aidilfitri: Peluang PH-BN tawan Kedah dalam PRN
Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat Kedah sebagai negeri yang mempunyai peluang cerah untuk ditawan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ia antara faktor mendorong mengapa Anwar mengumumkan negeri Jelapang Padi itu sebagai lokasi pertama untuk Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, beliau juga berpendapat, Anwar cuba menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan kekal bersama dengan rakyat Kedah biarpun pucuk pimpinan negeri itu seperti bermusuh dengan Kerajaan Persekutuan.
“Mungkin Anwar lihat Kedah ini sebagai negeri yang ada peluang untuk PH dan BN tawan dalam PRN akan datang.
“Peluang untuk merampas kembali negeri Kedah ini nampak cerah. Penganjuran rumah terbuka Aidilfitri ini mungkin sebagai permulaan PH dan BN berkubu, berkampung di Kedah untuk bertemu dengan rakyat, seterusnya menggerakkan kempen jentera pilihan raya,” ujarnya.
Beliau juga melihat bahawa acara sambutan Aidilfitri di negeri itu sebagai satu permulaan kepada lebih banyak lagi program-program yang akan dibuat di Kedah untuk misi merampas kembali negeri tersebut dari tangan Pas.
Untuk rekod, Kedah menjadi lokasi pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri Anwar dan jemaah menteri.
Anwar turut mengumumkan pada tahun ini rumah terbuka tidak akan diadakan Sri Perdana di Putrajaya, seperti kelaziman sebelum ini.
Menurut Bernama, Anwar dan barisan menteri sebaliknya ke negeri-negeri dan menyertai majlis anjuran sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, dan bermula di Alor Setar pada 29 April ini.
“Jadi kita ada minat sikit dengan Alor Setar kerana saya diberitahu makanan di Alor Setar itu jauh lebih lazat daripada tempat lain,” katanya lagi.
BACA JUGA Rakyat Negeri Sembilan dijemput hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri