Suapan Nur Deena raih perhatian menteri kesihatan
Video tular jururawat Nur Deena Nadzhiefa menyantuni pesakit warga emas berbangsa India baru-baru ini mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam satu coretan di Facebook, Dzulkefly berkata tindakan Nur Deena telah menjentik hatinya.
Ketika perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya, beliau mengambil masa bertemu dengan jururawat berkenaan dan menyampaikan pengiktirafan kepadanya.
“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai ihsan yang Deena tunjukkan.
“Beliau membuktikan bahawa ubat paling mujarab di hospital bukan hanya pil atau suntikan, tetapi layanan penuh empati,” ujarnya.
Dr Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada Nur Deena kerana berjaya menghidupkan semangat ‘Malaysia’ dalam tugasan hariannya serta berharap sikap terpuji itu menjadi inspirasi kepada seluruh warga kesihatan dan masyarakat.
“Terima kasih saudari Deena, kerana menghidupkan jiwa ‘Malaysia’ dalam tugas seharian. Semoga menjadi inspirasi buat kita semua,” katanya.
BACA JUGA Seleweng dana RM300 juta babit Tan Sri: SPRM sita rumah, tanah, kenderaan mewah