Rupanya ini status, kedudukan sebenar Mahiaddin dalam mesyuarat MT PN
Kedudukan Tan Sri Mahiaddin Yassin dalam Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dipersoalkan, malah beliau masih berhak dan wajib dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu, kata penganalisis politik, Dr Yusri Ibrahim.
Ketua Penyelidik ILHAM Centre itu berkata, kekeliruan yang sengaja ditimbulkan sesetengah pihak berhubung status Mahiaddin hanyalah bersifat politik dan tidak berlandaskan perlembagaan PN.
Beliau menjelaskan, perlembagaan PN sendiri menetapkan bahawa perletakan jawatan Pengerusi hanya berkuat kuasa selepas diterima oleh Majlis Tertinggi.
“Sebelum keputusan tersebut dicapai, Tan Sri Mahiaddin masih Pengerusi MT, boleh hadir dan perlu dijemput untuk mesyuarat MT,” ulasnya menerusi kenyataan di media sosial.

Sebelum ini, Mahiaddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Pengumuman Presiden Bersatu itu yang dibuat pada 30 Disember tahun lalu selepas lima tahun memimpin PN sejak gabungan itu ditubuhkan pada Februari 2020.
Tindakan Mahiaddin itu dikatakan berkaitan tekanan yang makin ketara dari pimpinan Pas yang secara terbuka mendesaknya meletak jawatan sebagai Pengerusi PN.
Kehendak Mahiaddin
Mengulas lanjut, Dr Yusri berkata, Mahiaddin bukan sahaja boleh hadir, malah tidak boleh diketepikan daripada mesyuarat tertinggi gabungan berkenaan.
Tambah beliau, walaupun perletakan jawatan tersebut ditafsirkan sah berdasarkan niat dan kehendak Mahiaddin sendiri, kedudukan Ahli Parlimen Pagoh itu tetap tidak terlucut daripada struktur kepimpinan PN.
“Ini kerana perlembagaan PN menetapkan semua presiden parti anggota adalah Timbalan Pengerusi MT.
“Mahiaddin Presiden Bersatu, kalaupun jawatan pengerusi PN telah terlucut kerana meletak jawatan, automatik beliau jadi timbalan pengerusi,” jelasnya.
Oleh itu, kata Dr Yusri, sekiranya jawatan Pengerusi PN dianggap kosong sekalipun, Mahiaddin secara automatik berstatus Timbalan Pengerusi MT PN.
“Timbalan pengerusi boleh hadir atau dengan kata lain perlu dijemput untuk menghadiri mesyuarat,” kata ahli akademik itu.
Tambah Dr Yusri lagi, penjelasan beliau itu penting bagi menamatkan spekulasi dan percubaan mengelirukan akar umbi yang cuba menggambarkan seolah-olah Mahiaddin telah terkeluar sepenuhnya daripada struktur kepimpinan PN.
BACA JUGA Suapan Nur Deena raih perhatian menteri kesihatan