Terkini bekas Panglima Tentera Darat buat laporan polis terhadap Chegubard

Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Hafizuddeain Jantan hari ini membuat dua laporan polis terhadap aktivis politik, Chegubard.

Laporan itu dibuat selepas Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin didakwa membocorkan maklumat peribadi termasuk akaun perbankan Hafizuddeain.

Peguam, Aizul Rohan Anuar berkata, aktivis berkenaan dikesan memuat naik hantaran berkaitan maklumat perbankan anak guamnya di Facebook pada 19 Disember tahun lalu.

Anak guamnya mengesyaki kemungkinan terdapat penglibatan daripada mana-mana pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) serta dua institusi perbankan susulan pembocoran maklumat peribadi miliknya.

Namun, pihaknya tidak tahu sama ada dokumen itu didedahkan oleh pihak bank sendiri atau mana-mana pihak lain yang terbabit, justeru membuat laporan polis untuk menjalankan siasatan.

Laporan kedua pula membabitkan tuduhan bahawa Hafizuddeain memiliki serta memakai jam tangan mewah berjenama Patek Phillipe.

Aizul berkata, dakwaan itu palsu dan mengelirukan kerana jam tangan itu adalah jam rasmi dikeluarkan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang tertera ‘Chief Of Army’.

“Gambar bahagian hadapan dan belakang sudah didedahkan dan membuktikan dakwaan itu adalah tidak benar dan dimanipulasikan,” katanya.

Aizul berkata, anak guamnya turut bercadang untuk mengambil tindakan sivil terhadap Chegubard, BNM dan dua institusi perbankan berhubung pendedahan maklumat itu.

BACA JUGA Takiyuddin jawab kritikan Bersatu kenapa Mahiaddin tak dijemput ke mesyuarat