PM buat lawatan ke luar negara tahun lalu, ini hasilnya terhadap perdagangan negara

Malaysia berjaya menembusi 240 pasaran eksport yang menyumbang kepada jumlah perdagangan tertinggi RM3.061 trillion. Ia merupakan peningkatan 6.3 peratus berbanding tahun 2024, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jualan eksport Malaysia pula mencecah RM45.4 bilion hasil hubungan dagang dengan pelbagai negara, termasuk United Kingdom (UK), Russia, Itali, Perancis, Brazil, Korea Selatan dan Afrika Selatan, yang menumpukan kepada eksport gas asli cecair (LNG), minyak sawit serta barangan elektrik dan elektronik (E&E), selain peningkatan dalam bidang semikonduktor dan aeroangkasa.

“Bagaimanapun alhamdulillah, kita mampu merekod jumlah perdagangan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM3.061 trilion, peningkatan 6.3 peratus, ketimbang 2024.

“Hasil ini, sekali lagi kerana kita mengambil sikap terbuka, berdagang secara bebas dan mencecah kepada 240 pasaran, dengan ada satu negara, terdapat dua proses perdagangan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berhubung prestasi dan nilai perdagangan yang disumbang oleh hasil lawatan dan misi perdagangan Perdana Menteri ke luar negeri tahun lalu.

BACA JUGA: MP baharu, PM jawab isu perdagangan, pendidikan di Dewan Rakyat hari ini