Heboh setiausaha masjid layan video lucah, ini tindakan JAIM
Setiausaha sebuah masjid di Bukit Baru ditamatkan perkhidmatannya oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas terpalit dengan kontroversi rakaman video lucah yang tular di media sosial baru-baru ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid (JKTU) yang diadakan pagi tadi.
Jelasnya, setiausaha berkenaan turut mengemukakan surat peletakan jawatan kepada JAIM.
Menurutnya, peletakan jawatan itu diterima sekali gus menamatkan tugas individu terbabit sebagai setiausaha masjid serta pengerusi sebuah surau kampung di Paya Ikan, yang kedua-duanya adalah lantikan di bawah JAIM.
“Mesyuarat JKTU sudah membincangkan perkara ini dan kita mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan beliau berdasarkan surat peletakan jawatan yang diterima,” katanya, dipetik BH.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 59 saat memaparkan seorang lelaki sedang menonton video lucah dipercayai di dalam sebuah bilik di pejabat sebuah masjid di Bukit Baru.
Perbuatan warga emas itu dirakam individu lain yang didakwa berlaku pada jam 9.13 pagi, 27 Disember lalu sebelum mengetuk tingkap dan pintu pejabat tersebut.
Lelaki di dalam pejabat itu kemudian membuka pintu tetapi menafikan melakukan sebarang perbuatan salah.
Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, status imam tiga atau imam rawatib yang merakamkan video berkenaan diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa masjid.
Jelasnya, pelantikan imam terbabit bukan dibuat melalui JAIM, sebaliknya dilantik oleh jawatankuasa masjid dan menerima elaun daripada pihak berkenaan.
BACA JUGA Berapa nilai ringgit hari ini? Naik lagi ke jatuh?