Pas kini bercempera, siapa lebih besar, Presiden ke Mursyidul Am?
Ketegangan dalaman terus membelenggu Pas hingga mencetuskan persoalan tentang hierarki kuasa sebenar dalam parti pembangkang itu sama ada kuasa Presiden lebih besar, atau Mursyidul Am yang memegang autoriti tertinggi.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menegaskan bahawa ketua tertinggi atau pemimpin utama dalam struktur organisasi parti itu adalah Mursyidul Am.
“Amir bagi Pas adalah Mursyidul Am. Beliau ada kuasa mengeluarkan perintah dan arahan, serta mengawasi seluruh individu dan organisasi di bawah Pas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Untuk rekod, dalam struktur kepimpinan Pas, Mursyidul Am merupakan penasihat tertinggi dari perspektif syariah dan strategi ideologi, manakala Presiden mengetuai pentadbiran dan urusan harian parti.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor menegaskan bahawa Presiden adalah “Amir Jemaah” yang memimpin parti berdasarkan kuasa eksekutif yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.
Menurutnya, kepimpinan Presiden parti itu dilaksanakan secara kolektif melalui mesyuarat bersama Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Majlis Syura Ulamak.
Beliau berkata, Mursyidul Am (MA) serta Majlis Syura Ulamak (MSU) pula merupakan entiti penting yang saling melengkapi dalam menggerakkan perjuangan harakatul ummah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerteh itu menambah, jawatan Presiden dipilih melalui Muktamar Pas Pusat yang diadakan setiap dua tahun sekali dan merupakan syura tertinggi harakatul ummah dengan menghimpunkan perwakilan Pas dari seluruh negara.
Jelasnya lagi, jawatan MA pula dilantik melalui proses syura dalam Majlis Syura Ulamak sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Pas Fasal 9 (1) (a), (b) dan (c), dengan tempoh penggal selama lima tahun.
BACA JUGA ‘Bercinta dengan Presiden Pas ke?’