Krisis Perlis dedah Pas gagal urus perbezaan, rakyat jadi mangsa politik kuno
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menegaskan bahawa krisis politik Perlis bukan lagi isu dalaman parti, tetapi telah berubah menjadi krisis keyakinan awam terhadap keupayaan Pas mengurus kuasa secara adil dan berakhlak.
Menurutnya, percanggahan terbuka antara keputusan Presiden Pas dengan kenyataan Mursyidul Am bahawa pemecatan tiga Adun masih boleh disemak Majlis Syura membuktikan satu hakikat pahit iaitu Pas sedang berhadapan krisis autoriti, krisis kepimpinan dan krisis kejelasan prinsip.
“Lebih malang, konflik ini tidak diselesaikan secara adil, sebaliknya rakyat di DUN terbabit dihukum dua kali.
“Kehilangan wakil rakyat dan diseret menjadi mangsa perbalahan dalaman parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketegangan dalaman terus membelenggu Pas hingga mencetuskan persoalan tentang hierarki kuasa sebenar dalam parti pembangkang itu sama ada kuasa Presiden lebih besar, atau Mursyidul Am yang memegang autoriti tertinggi.
Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menegaskan bahawa ‘amir’ atau pemimpin utama dalam struktur organisasi parti itu adalah Mursyidul Am.
Sebaliknya, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, Presiden adalah “Amir Jemaah” yang memimpin parti berdasarkan kuasa eksekutif yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, Islam tidak pernah mengajar ketaatan membuta tuli manakala keberanian menegur, berbeza pandangan dan menuntut keadilan adalah asas siasah Islam.
Namun dalam krisis Perlis, kata Mahfuz, Pas memilih pendekatan politik lama dengan menutup ruang perbezaan, menghukum yang bersuara dan menjadikan kuasa sebagai alat disiplin.
Sehubungan itu, bekas Naib Presiden Pas berkenaan menegaskan bahawa isu yang berlaku di Perlis wajar dijadikan amaran di peringkat nasional.
“Apabila Pas gagal mengurus perbezaan dalam parti sendiri, bermakna Pas tidak layak memimpin negara majmuk yang lebih besar dan lebih mencabar.
“Rakyat tidak boleh terus dijadikan sandera emosi politik dan mangsa dendam kuasa,” tegas Mahfuz lagi.
BACA JUGA Mediasi gagal, saman fitnah Mohd Na’im terhadap Papagomo diteruskan